Perak gagal untuk meneruskan momentum kemenangan mereka dalam aksi Liga Super 2023, setelah kali ini mereka mencatat kekalahan besar di tangan Selangor menerusi keputusan 0-4.
Walaupun beraksi di laman sendiri, Perak gagal untuk sekurangnya mendapatkan satu jaringan, setelah mereka tenggelam dengan corak permainan intensiti tinggi dipamerkan oleh Selangor.
Selangor FC raih tiga mata penuh di Ipoh.#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/1Mg2PshXSU
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 20, 2023
Pada perlawanan ini juga menyaksikan Selangor tampil dengan sangat garang di posisi serangan dengan empat gol terhasil menerusi dua jaringan daripada Ayron Del Valle, Faisal Halim, serta bintang muda iaitu Mukhairi Ajmal.
Awal permainan menyaksikan Perak tampil bersemangat dengan beberapa gerakan menarik dicipta mereka untuk cuba mendapatkan jaringan pertama mengatasi Selangor.
Sementara pelawat pula hadir dengan intensiti permainan yang sedikit perlahan dengan tidak banyak gerakan-gerakan menarik dicipta selain lebih menumpukan penguasaan di bahagian tengah.
Walaupun begitu, Selangor mula meningkatkan asakan mereka selepas lima minit perlawanan berlangsung menerusi beberapa gerakan berbahaya yang memaksa Perak terpaksa bertahan seketika.
Kelibat Faisal Halim dan Yohandry Orozco jelas menyukarkan Perak pada awal perlawanan ini, selepas gerakan dicipta mereka jelas sangat berbahaya untuk mendapatkan gol pertama buat Selangor.
Ketika ini, pasukan tuan rumah lebih banyak berkampung di kawasan sendiri untuk bertahan daripada segala asakan dicipta oleh Selangor yang hadir dari pelbagai arah dengan tekanan sangat tinggi diberikan.
Memasuki 30 minit perlawanan, Perak tampil lebih berani untuk cuba mengasak pasukan pelawat dengan sesekali mencipta peluang menerusi siri serangan balas pantas.
Selangor akhirnya berjaya membuka akaun jaringan pertama mereka di gelanggang lawan menerusi jaringan daripada Ayron Del Valle yang cemerlang menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-40.
Ayron sekali lagi tampil berbahaya pada minit ke-42 menerusi satu percubaan deras dari luar kotak penalti sebelum ianya ditepis oleh T. Shaheeswaran untuk menyelamatkan keadaan.
Sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan, tampil Faisal Halim untuk melebarkan jaringan kedua buat Selangor menerusi kesilapan yang dibuat sendiri oleh barisan pertahanan Perak.
Bersambung di separuh masa kedua, Perak tampil dengan lebih agresif untuk mengasak kubu pertahanan Selangor menerusi beberapa percubaan berbahaya untuk menguji Mohd Khairulazhan.
Kesebelasan utama bagi perlawanan #PRKSEL malam ini! ❤️💛
Senarai Kecederaan : Noor (Adductor Strain), Zikri (Unwell) dan Richmond Ankrah (Quadriceps Tendinopathy).
Dikuasakan oleh @sugarbombgroup #MKLK#KitaSelangor#LigaSuper2023#LigaMalaysia2023 pic.twitter.com/ncscKMiNIj
— Selangor FC (@selangorfc) May 20, 2023
Namun, secara tiba-tiba tampil Mukhairi Ajmal yang membuktikan kredibiliti beliau menerusi satu jaringan cantik dari jarak jauh untuk meletakkan Selangor kini 3-0 di hadapan pada minit ke-51.
Secara keseluruhan, Perak tampil dengan lebih baik pada separuh masa kedua untuk tidak membenarkan pelawat mendominasi keseluruhan permainan menerusi beberapa gerakan menarik yang dicipta.
Pada minit ke-69, Selangor sekali lagi tampil dengan gol keempat mereka menerusi jaringan kedua yang diledak oleh Ayron untuk terus memberi kekecewaan buat penyokong Perak.
Perlawanan juga dihentikan seketika pada minit ke-70, selepas pengadil perlawanan iaitu Noor Azriel Bin Baharudin ditimpa kecederaan di bahagian buku lali untuk menerima rawatan seketika.
Memasuki minit-minit akhir permainan, kedua pasukan semakin rancak mencipta serangan dengan masing-masing tidak mengendurkan langsung intensiti perlawanan.
Keputusan perlawanan kekal tamat dengan kemenangan berpihak kepada Selangor untuk kembali mengukuhkan posisi mereka di tangga kedua liga, setelah cemerlang mengetepikan Perak di gelanggang lawan menerusi keputusan penuh 4-0.
Kesebelasan utama
Perak: Shaheeswaran Thavakumar (Penjaga gol), Sunday Kolawole Afolabi, Muhamad Hafizal Mohamad @ Alias (Kapten), Raja Imran Shah Raja Amin, Luciano Guaycochea, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, Shivan Pillay Asokan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar, Che Mohamad Suhairi Che Halim, Muhammad Nasrol Amri Kamarul Azhar
Selangor: Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (Penjaga gol), Quentin Jiun-Ho Cheng, Yazan Mousa Mahmoud Abu Al-Arab, Mohamad Faisal Abdul Halim, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (Kapten), Yohandry Jose Orozco Cujia, Muhammad Fazly Mazlan, Alexander Agyarkwa Ameyaw, Sharul Nazeem Zulpakar, Ayron Del Valle Rodriguez, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau