Penyerang import Selangor, Ifedayo Olesegun mencatat hatrik untuk membantu Selangor menang bergaya 3-1 ke atas Perak dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.
Hasil dari corak permainan kemas, Selangor tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan seawal minit kelapan bermula dengan lorongan Oliver Buff kepada Jordan Ayimbila yang membuat larian di sebelah kiri.
Pemain import Ghana itu kemudian bijak membuat hantaran lintang kepada Ifedayo yang tidak dikawal sebelum mudah menolak masuk bola ke dalam gol menewaskan penjaga gol Hafizul Hakim.
Selangor yang jelas mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama mendapat tuah apabila dianugerahkan sepakan penalti selepas Oliver Buff diterjah dari belakang oleh Leandro Dos Santos.
Tiada masalah buat Ifedayo untuk menambah jaringan dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-31 bagi melebarkan kelebihan buat pasukan tuan rumah.
Pada separuh masa kedua, Perak memperoleh deretan peluang untuk menjaringkan gol namun dikecewakan dengan ketumpulan barisan serangannya.
Malam cemerlang Selangor disempurnakan dengan catatan hatrik Ifedayo yang menanduk masuk sepakan penjuru pemain gantian Mukhairi Ajmal pada minit ke-71 bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Hanya beberapa minit sebelum tamat perlawanan, Perak mendapat gol saguhati yang disumbangkan oleh Farid Khazali hasil lorongan Guilherme de Paula.
Dengan kemenangan tersebut, Selangor memperbaiki kedudukan mereka untuk naik ke tangga keenam dengan mengumpul 11 mata selepas lapan perlawanan.
Kredit Foto: MFL
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Adakah Komen Sinis Aidil Sharin Ini Untuk ‘Tindakan’ Nafuzi Zain?