Liga Super: JDT Mudah Jinakkan PJ City Di Iskandar Puteri

Bergson da Silva JDT PJ City 2021

Johor Darul Ta’zim (JDT) menang mudah ke atas PJ City FC 3-0 dalam saingan Liga Super musim 2021 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Satu jaringan Gonzalo Cabrera dan dua gol oleh Bergson da Silva membantu JDT merekodkan kemenangan ke-6 musim ini untuk berada di puncak liga dengan mengumpul 20 mata – empat mata di depan Kedah, selepas lapan perlawanan.

JDT turun dengan dua perubahan dengan kemasukkan kapten yang juga bek tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Syamer Kutty Abba untuk kukuhkan jentera tengah.

PJ City juga dilihat membuat dua perubahan dengan menyenaraikan pemain tengah, K. Thivandaran dan pemain pertahanan, M. Youwarasan untuk skuad kali ini.

Tidak sampai seminit perlawanan berlangsung, JDT terus membuka akaun jaringan menerusi tandukkan Gonzalo Cabrera yang hanya mampu dilihat oleh penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz. Ia bermula dengan hantaran lintang oleh S. Kunanlan.

Mungkin tidak sempat bersedia menerima serangan daripada lawan, The Phoenix dihukum seawal minit pertama. Selepas itu, barulah mereka tampak lebih tenang, namun agak sukar apabila ketinggalan gol berdepan dengan pasukan seperti JDT.

Minit ke-20, ledakan kaki kiri Bergson dari luar kotak penalti menewaskan Kalamullah Al-Hafiz buat kali kedua selepas benteng pelawat membuat kesilapan terlepas kawalan bola di zon defensif third mereka kepada pemain lawan, Syamer Kutty Abba.

Skuad Harimau Selatan dilihat lebih gemar membuat percubaan jarak jauh ke gawang gol PJ City walaupun sebenarnya ada ruang buat mereka untuk menembus masuk ke kawasan gol lawan. Mungkin ini adalah satu arahan taktikal oleh Benjamin Mora.

Sekali lagi kesilapan benteng pelawat pada minit ke-30 memberikan bola kepada tuan rumah dalam kotak penalti telah dimanfaatkan oleh Bergson untuk gol ketiga JDT – gol ke-8 peribadinya. Bola dipintas oleh Cabrera dihantar untuk disudahkan Bergson.

Sepanjang aksi babak pertama berlangsung, PJ City belum mampu mengatur asakan ke benteng lawan sehingga memberikan rehat yang panjang buat Farizal Marlias di gawang tuan rumah. Ketinggalan tiga gol makin menyukarkan anak buah P. Maniam.

Babak kedua diteruskan dengan persembahan yang masih sama oleh tuan rumah. JDT menguasai permainan sepertimana di babak pertama, namun ada beberapa gerakan berjaya dijana pemain gantian PJ City, Mahalli Jasuli walaupun tidak disudahkan.

Minit ke-58, Kalamullah Al-Hafiz menafikan rembatan deras Bergson daripada luar kotak penalti, sebelum percubaan Leandro Velazquez ditangkap kemasnya.

JDT memperlahankan tempo permainan mereka dan ini memberi ruang buat pelawat menerusi Mahalli Jasuli dan R. Kogileswaran untuk kembali ke dalam permainan, namun mereka gagal untuk memanfaatkan ruang yang diberikan oleh tuan rumah.

Menjelang ke penghujung perlawanan, Harimau Selatan dilihat sudah santai dan terus memberikan ruang buat The Phoenix untuk memegang bola. Masalah utama buat mereka adalah gagal memanfaatkan peluang memegang bola yang dimiliki mereka.

Selepas melalui beberapa musim yang sukar berdepan PJ City, kali ini tugas mereka dilihat mudah apabila lawan mereka itu menggunakan sepenuhnya tenaga tempatan, ditambah pula tanpa kehadiran penjaring terbanyak mereka, Darren Lok.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN