Liga Super 2015: Kompilasi Prebiu Semua Pasukan

Liga Super 2015 baru sahaja membuka tirai minggu lepas dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara juara liga tahun lepas, JDT menentang juara Piala FA, Pahang.

Jika pada tahun lepas JDT gagal menewaskan Pahang dalam kesemua perlawanan Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia, tahun ini JDT memecah badi mereka apabila menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan Sabtu lepas.

JDT menjulang Piala Sumbangsih dan 3 mata pertama dalam Liga Super selepas menewaskan Pahang 2-0 (sumber: khairulazrin.wordpress.com)
JDT menjulang Piala Sumbangsih dan 3 mata pertama dalam Liga Super selepas menewaskan Pahang 2-0 (sumber: khairulazrin.wordpress.com)

Bagi peminat bola sepak yang baru mengikuti aksi Liga Super, tahun 2015 adalah tahun yang terbaik untuk anda mulakan minat anda kerana pada tahun ini anda tiada alasan lagi untuk tidak menonton perlawanan Liga Super kerana stesen televisyen percuma – RTM dan saluran Media Prima seperti TV3 dan TV9 – sudah memiliki hak penyiaran Liga Super. Anda tidak perlu melanggan Astro hanya semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak. Ketahuilah anda semua, kita sedang hidup di zaman emas televisyen.

Bagi peminat tegar bola sepak Malaysia, ramai yang kurang berpuas hati dengan kualiti penyiaran dan komentar RTM dan Media Prima. Setelah bertahun-tahun menonton bola sepak kualiti HD dan terbiasa mendengar komentar Zainal Abidin Rawop dan Hafizal Hamad di saluran sukan berbayar, mereka memerlukan masa untuk membiasakan mata mereka dengan kualiti warna dan contrast stesen televisyen percuma dan komentar berbunga-bunga oleh personaliti RTM dan Media Prima. Alah bisa tegal biasa, kata orang. Lama-lama senyaplah kritikan itu.

JDT FA

103

 

Kemenangan JDT ke atas Pahang bermakna JDT memulakan kempen saingan liga mereka dengan langkah kanan dengan mengutip 3 mata ke atas pasukan yang kuat seperti Pahang. Aksi mereka pada Sabtu lepas pastinya disaksikan dengan penuh kegerunan oleh jurulatih dan pemain pasukan Liga Super yang lain. Gerakan off the ball yang mengelirukan, pertukaran hantaran satu dua yang cantik di mata yang melihat serta kualiti yang dimiliki oleh pemain mereka jarang dipamerkan oleh pasukan tempatan yang gemar bermain route one football.

Cuma yang agak merisaukan kami adalah senarai nama penjaring mereka terdiri daripada nama pemain import. Alangkah bagusnya jika ada nama pemain tempatan muncul dalam senarai penjaring terbanyak liga musim ini. Bagaimanapun persembahan pemain tempatan JDT seperti Safiq Rahim, Junior Eldstal, S. Kunanlan, Farizal Marlias dan Shakir Shaari juga perlu diberikan pujian. Mahali Jasuli meneruskan pembelajarannya di posisi baru (pemain sayap kanan) dan perlu memperbaiki ketenangannya di kawasan final third. Fadhli Shas pula tiada masalah melenyapkan ancaman Fauzi Roslan di sebelah kiri.

Tetapi jika faktor ketidaktentuan Liga Super dijadikan sandaran, JDT tidak mustahil untuk dikalahkan. Apakah kelemahan mereka? Baca prebiu yang kami tulis tentang The Southern Tigers di sini.

Pahang FA

Zainal memilih untuk menyambung legasi Dollah berbanding Ron Smith di Pahang (sumber: msportnews)
Zainal memilih untuk menyambung legasi Dollah berbanding Ron Smith di Pahang (sumber: msportnews)

Bagi Zainal Abidin Hassan, kestabilan kelab adalah ramuan penting untuk bersaing dalam liga pada musim ini. Kesebelasan utama yang bermula dalam perlawanan di Larkin pada Sabtu lepas adalah muka-muka lama dengan tambahan dua tiga muka baru yang muda. Abdul Aziz Ismail dan Nor Azam Azih dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu, menandakan kehadiran mereka akan mencabar tempat pemain-pemain senior yang lain pada musim ini.

Selain pemain-pemain yang sama, Pahang juga menampilkan taktikal yang sama seperti musim lepas. Berbahaya di kedua-dua sayap dan di tengah, skuad Tok Gajah akan meratah pasukan yang mempunyai bek yang lemah dan midfield tengah yang memberikan ruang besar untuk Dickson Nwakaeme merajai permainan. Cuma di luar Stadium Darul Makmur, Pahang kelihatan agak pasif dan tidak melakukan pressing yang intensif. Tetapi di halaman mereka sendiri, mereka adalah pasukan yang sangat berlainan berbanding dengan apa yang kita saksikan Sabtu lepas.

Mengapa mereka berbahaya di halaman sendiri? Baca prebiu kami tentang skuad Tok Gajah di sini.

Terengganu FA

Liga musim 2014 yang cemerlang bagi skuad Penyu dan Hj. Abdul Rahman Ibrahim. Bagaimana pula dengan potensi mereka di musim 2015? (photo kredit: skuadpenyu.blogspot.com)
Liga musim 2014 yang cemerlang bagi skuad Penyu dan Hj. Abdul Rahman Ibrahim. Bagaimana pula dengan potensi mereka di musim 2015? (photo kredit: skuadpenyu.blogspot.com)

Salah seorang kenalan kami di Twitter memberitahu pembelian Gustavo Lopez adalah pembelian terbaik musim ini. Beliau yang menulis laman web bola sepak Argentina dan mengikuti secara dekat prestasi dan persembahan playmaker Argentina ini ketika Lopez bermain di Indonesia memberitahu kami, kebolehan Gustavo Lopez sangat diiktiraf oleh peminat bola sepak Indonesia.

sivan

Kami merasakan Terengganu bakal melakar kejutan dalam Liga Super pada musim ini. Berdasarkan kualiti pemain yang mereka ada, kami menjangkakan Terengganu bakal mencabar kejuaraan liga. Apakah formasi yang bakal digunakan Abdul Rahman Ibrahim untuk memuatkan kesemua bintang import dan tempatan mereka? Baca prebiu kami tentang skuad Sang Penyu di sini.

Sarawak FA

Pssst...it's Joseph Kalang Tie (sumber: blogspot)
Pssst…it’s Joseph Kalang Tie (sumber: blogspot)

Perlu diingat, musim lepas bukanlah gambaran sebenar Sarawak yang menggegar bola sepak tempatan pada 2013. Tetapi musim ini mereka tampil dengan senjata baru. Senjata baru ini mungkin tidak dihargai oleh pasukan lain (sedangkan beliau adalah pemain terbaik mereka musim lepas) tetapi di Sarawak, beliau hanya menunggu masa untuk bersinar. Dengan kehadiran Captain Fantastic (siapakah beliau?), senjata baru Sarawak ini akan memperolehi bekalan peluang gol yang tidak putus-putus. Siapakah Captain Fantastic dan senjata baru Sarawak ini? Jangan lupa klik di sini.

Lions XII

Sumber: Lions XII SG
Sumber: Lions XII SG

Hooray! Lions XII beraksi buruk di Liga Super pada musim lepas. Tetapi apakah episod buruk mereka pada musim lepas akan berulang lagi terutamanya apabila Fandi Ahmad sudah merekrut beberapa pemain muda Singapura yang menyinar di S-League pada tahun lepas? Bolehkah Fandi Ahmad membuktikan kemampuannya sebagai jurulatih yang hebat sebagaimana kehebatannya menjaringkan gol pada era 80-an dahulu? Siapakah pemain baru Lions XII yang juga merupakan skateboarder ke-6 terbaik di Singapura? Klik di sini.

Perak FA

Kredit: Media Perak FA
Kredit: Media Perak FA

(Amaran: Penulis merupakan peminat pasukan Perak) Pasukan paling hebat di Asia ketika ini, Perak sengaja menyembunyikan tanduknya yang tajam pada musim lepas apabila dengan bersahajanya merekrut empat pemain import berkualiti setaraf pemain tempatan untuk menunjukkan kepada semua peminat bola sepak Malaysia yang lain: mereka hanya memerlukan 3 bulan selepas April untuk menggegar pentas bola sepak tempatan. Tambah menakutkan, watak-watak penting yang membawa Perak kepada kemenangan demi kemenangan adalah terdiri daripada anak-anak jati mereka sendiri yang masih mempunyai banyak masa untuk mengembangkan potensi besar mereka.

Siapakah anak-anak jati Perak yang bakal menggalas tanggungjawab memimpin skuad The Bos Gaurus? Kenali mereka di sini.

Sime Darby FC

10850258_10152903093048180_1031943513838550047_n

Sime Darby mungkin tidak popular di kalangan pemain dan peminat bola sepak tempatan, tetapi barisan pemain import mereka sangat-sangat berkualiti. Musim lepas, nasib skuad The Giant Killers ini diselamatkan oleh pemain box-to-box paling hebat pernah kami saksikan dalam Liga Super. Ditambah pula dengan 3 pemain import Serbia yang baru, salah seorang daripada mereka merupakan pakar sepakan percuma setanding Safiq Rahim. Siapakah mereka? Anda perlu membaca prebiu kami tentang Sime Darby FC di sini.

ATM FC

atm fa

Jika anda pernah menonton perlawanan ATM di Liga Super pada musim lepas, anda akan sedar B. Sathianathan telah menggunakan formasi sama yang Jerman Barat gunakan untuk memenangi Piala Dunia 1990. Cuma bezanya, Sathiantahan menggunakan formasi ini untuk menyelamatkan ATM daripada tersingkir dari Liga Super. Siapa sangka jurulatih tempatan pandai mengadaptasi taktikal pasukan mereka dan tahu bermain formasi selain 4-4-2? Anda perlu baca lebih lanjut tentang kebijaksanaan B. Sathianathan di sini.

PDRM FC

10410291_1029813683712519_5736438920278104578_n

Diam-diam ubi berisi. Itulah kesimpulan yang boleh kami berikan selepas membuat prebiu pasukan PDRM FC untuk kempen Liga Super 2015. Mereka mungkin kehilangan Chad Souza yang menjaringkan 16 gol dari 21 perlawanan Liga Perdana musim lepas, tetapi mereka menggantikan beliau dengan klon Frederic Kanoute untuk berpasangan dengan penyerang yang menduduki tangga kedua World Best Top Goal Scorer 2013 di belakang Cristiano Ronaldo dan di hadapan…get this…Zlatan Ibrahimovic dan Lionel Messi!

Untuk mengetahui pemain amnakah yang kami maksudkan, baca prebiu kami tentang skuad kendalian Azman Adnan ini di sini.

Kelantan FA

Tugas berat menanti George Boateng di tahun 2015 apabila diletakkan harapan tinggi oleh peminat TRW (Sumber gambar: KOSMO)
Tugas berat menanti George Boateng di tahun 2015 apabila diletakkan harapan tinggi oleh peminat TRW (Sumber gambar: KOSMO)

Kelantan secara literalnya, menjelajah satu dunia untuk mencari 4 pemain import yang dikehendaki George Boateng. Satu dari benua Asia, Afrika, Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Tidak banyak diketahui mengenai keempat-empat pemain import mereka sekaligus, menambah misteri kepada pasukan lain. Tetapi berdasarkan rekod buruk Kelantan yang cenderung merekrut pemain import teruk, kami berharap keempat-empat pemain import ini tidak mengecewakan peminat Kelantan yang sememangnya fanatik dengan bola sepak. Berdasarkan apa yang kami lihat dari perlawanan persahabatan skuad The Red Warriors ini, mereka tidak perlu bimbang tentang hal ini lagi. Mengapa? Baca prebiu kami tentang skuad Kelantan di sini.

Felda United FC

DSC_0418

Skuad Irfan Bakti ini selalu dijadikan pasukan kedua kegemaran peminat negeri yang mempunyai penempatan FELDA seperti Johor, Negeri Sembilan dan Pahang contohnya. Seperti B. Sathianathan, Irfan Bakti gemar menggunakan formasi yang unik dan asing di kalangan jurulatih lain di Malaysia. Taktikal Irfan banyak menumbangkan pasukan Liga Super lain sejak mereka beraksi di Liga Perdana lagi. Bagaimana taktikal FELDA di susun sehingga mereka mampu menewaskan pasukan lain yang lebih kuat? Anda perlu membaca prebiu kami di sini.

Selangor FA

Barisan pemain Selangor untuk Liga Super 2015 (Sumber: ABNXcess)
Barisan pemain Selangor untuk Liga Super 2015 (Sumber: ABNXcess)

Mood penyokong Selangor semakin baik selepas watak antagonis dalam drama mereka dengan FAS, dipecat oleh Azmin Ali, Menteri Besar Selangor. Tetapi mereka masih lagi berhati-hati dan menuntut persembahan bermutu daripada barisan pemain dengan memberi amaran ini semasa majlis meperkenalkan pemain Selangor baru-baru ini di Shah Alam.

DSC_0463

Disamping menunjukkan rasa benci mereka kepada penjaga gol ketiga pasukan mereka kerana penglibatannya dalam isu penyokong Selangor yang menyerbu latihan pasukan mereka untuk menuntut penjelasan pemain sendiri selepas kekalahan 4-0 menentang FELDA United, penyokong Selangor memberi amaran mereka akan mengambil tindakan sendiri jika Selangor terus mempamerkan aksi buruk sperti yang dipamerkan ketika kempen Piala Malaysia tahun lepas.

Bagi pemerhati bola sepak luar kem Selangor, kualiti pasukan mereka agak menurun musim ini berbanding musim lepas. Mengapa? Baca prebiu kami tentang Selangor di sini.

Prebiu Liga Super 2015

Sarawak FA
Lions XII
Perak FA
Selangor FA
Sime Darby FC
Pahang FA
ATM FC
JDT FA
PDRM FC
Kelantan FA
Terengganu FA
Felda United FC

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN