Liga Premier: Belasah Skuad Projek FAM-MSN 7-1, SUFC Tetap Beri Dorongan & Sokongan

Sarawak United FC (SUFC) melonjak ke kedudukan teratas Liga Premier 2021 selepas membelasah skuad projek FAM-MSN dengan jaringan 7-1.

Keputusan tersebut menyaksikan Sarawak United melonjak dua anak tangga mengatasi Negeri Sembilan FC dan JDT II.

Penyerang import dari Nigeria, Uche Agba muncul wira Sang Kenyalang Emas apabila menjaringkan empat gol dalam perlawanan tersebut.

Sarawak tidak perlu menunggu lama apabila memecah kebuntuan jaringan seawal minit ke-15 perlawanan. Dua minit kemudian, Uche Agba terus memberi masalah kepada skuad muda FAM-MSN kendalian Yusri Che Lah apabila menggandakan kedudukan kepada 2-0.

Dua lagi jaringan bekas penyerang import Melaka United itu dijaringkan pada minit ke-30 dan ke-61 perlawanan.

Manakala dua gol lagi dijaringkan oleh S. Chanturu pada minit ke-44 serta Abdul Rahim Razak pada minit ke-83 sebelum Tommy Mawat Bada menamatkan sengsara skuad projek FAM-MSN pada minit ke-89 perlawanan.

Gol tunggal Projek FAM-MSN diperolehi menerusi sepakan penalti Azhad Harraz Arman pada minit ke-56.

Tatkala Sarawak United berbangga merampas kedudukan teratas Liga Premier, Skuad Projek FAM-MSN terus kekal di kedudukan tercorot liga 11 pasukan itu dengan mengumpul 1 mata setakat ini.

Mata tunggal skuad projek FAM-MSN itu diperolehi apabila berjaya mengikat Kuching City FC 2-2 di Stadium UiTM Shah Alam pada 8 April lalu.

Turut menarik perhatian ialah akaun Twitter Sarawak United FC yang tetap memberi dorongan kepada skuad muda itu walaupun dibelasah dengan jaringan yang agak besar.

“Kita teah menyaksikan masa depan bola sepak Malaysia melalui penubuhan skuad projek FAM-MSN. Benar, mereka tewas perlawanan malam [tadi] namun mereka membuktikan diri dengan kerja keras dan tahap keyakinan. Ketahuilah mereka adalah pasukan pertama yang membocori gawang kami pada musim ini tatkala yang lain gagal berbuat demikian,” ujar Sarawak United FC melalui akaun Twitter rasmi mereka.

“Mari kita berikan mereka sokongan. Mereka masih lagi pemain muda dan memerlukan sokongan semua pihak. Kata-kata keras dan komen yang tidak berkenaan tidak akan menjadikan mereka lebih baik. Kita harus percaya dan berikan keyakinan kepada mereka. Mereka selayaknya beraksi di Liga Premier!!” tambah ciapan itu lagi.

Kemenangan besar Sarawak United FC pada malam tadi turut mendapat perhatian pasukan negara jiran yang berpusat di Kepulauan Borneo, Borneo FC Samarinda.

“Wih, Ngerik,ngerik,” ujar ciapan Borneo FC merujuk kepada kemenangan besar Sarawak United itu. Melalui ucapan tersebut Borneo FC turut mengucapkan tahniah atas kemenangan besar tersebut.

Sarawak United pada musim ini dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, E.Elavarasan dan diperkuatkan oleh beberapa pemain berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha, Tommy Mawat, S. Chanturu, Sandro da Silva, Taylor Regan, Sharbinne Alawee dan ramai lagi.

Sasaran Sarawak United pada musim ini semestinya untuk layak ke saingan Liga Super pada musim hadapan dengan muncul juara Liga Premier.

Selepas enam perlawanan dilalui, Sarawak United telah merekodkan lima kemenangan dan seri sekali, menjaringkan 15 gol dan hanya dibolosi sekali pada musim ini.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Sarawak:

Bujang Senang Lemas Di Lubuk Sendiri, Alessandro Celin Wira Kelantan!

7 Senarai Semak FAS Untuk Kembalikan Kegemilangan Bola Sepak Sarawak

‘Mat Yo Masih Lapar’ – 5 Sebab Sarawak United Dan Liga M 2021 Amat Penting

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khasย untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN