7 Senarai Semak FAS Untuk Kembalikan Kegemilangan Bola Sepak Sarawak

Pada Rabu lalu, FAS (Sarawak) mengadakan satu sidang media khas berkenaan pengunduran David Usop (gambar bawah) sebagai Ketua Jurulatih skuad Bujang Senang.

FAS turut mengumumkan Pengiran Bala akan dilantik sebagai interim untuk baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2017.

Sebelum ini, wakil kami pernah dijemput oleh pengurusan FAS untuk mengikuti perkembangan bola sepak pasukan Bumi Kenyalang itu.

Apakah permasalahan sebenar bola sepak Sarawak? Mengapakah prestasi gergasi dari kepulauan Borneo itu merudum begitu teruk sekali?

Apakah langkah yang perlu diambil oleh FAS untuk memulihkan kembali aura Ngap Sayot yang cukup digeruni satu masa dahulu?

Hasil daripada lawatan tersebut, kami menggariskan 7 perkara yang boleh dilakukan oleh FAS untuk memastikan sukan bola sepak terus subur di Bumi Kenyalang.

1. Dana 

Dalam mana-mana operasi organisasi, dana merupakan aspek terpenting. Musim ini FAS berhadapan dengan kekangan dana yang kritikal.

Mereka mencari pemain import yang sanggup menerima tawaran gaji rendah. FAS cuba elakkan masalah gaji pemain dan pegawai.

Mereka terpaksa melepaskan Mark Hartmann yang mahu meninggalkan pasukan kerana ada tawaran lebih baik dari luar.

Photo by Azlandy M. A.T / www.asiana.my

FAS turut menaikkan gaji beberapa pemain tempatan menerima bayaran terlalu rendah. Musim lalu, ada di antara pemain skuad utama Sarawak dibayar gaji hanya RM2,000 sebelum ini.

Hakikatnya Sarawak antara pasukan yang membayar gaji terendah di antara 24 pasukan yang bertanding di Liga Super dan Liga Perdana bagi musim 2017.

Sebagai perbandingan, Sarawak FA telah membawa masuk pemain-pemain seperti K.Gurusamy, Mohd Akmal Mohd Noor, Syahrul Azwari, K. Thanaraj dan Mohd Ridwan pada musim lepas.

Hanya 3 pemain tempatan dari luar Sarawak dikekalkan pada musim ini iaitu Rames Lai, Ronny Harun dan juga penjaga gol Shahril Sa’ari.

Satu perkara yang perlu diketahui oleh anda yang mengikuti perkembangan bola sepak Sarawak, pengurusan FAS dibarisi oleh ramai muka baru dengan visi baru untuk musim 2017.

Photo by Hazmin Hussin / www.asiana.my

Jadi, bakat tempatan yang ada dimanfaarkan sebaik-baiknya. Musim ini nama-nama seperti Tommy Mawat Bada, Awang Kamaruddin, Aliff Hassan, Nur Shamie Iszuan dan Abdul Rahim Abdul Razak mendapat lebih banyak peluang.

Selepas gagal dalam projek mega sebelum ini, FAS mengakui nilai komersil pasukan ini merudum.

FAS sangat memerlukan lebih banyak penglibatan dari banyak pihak terutama dari syarikat besar di Sarawak untuk bersama-sama memajukan bola sepak Sarawak.

Ini bukan perkara yang mudah. FAS harus bijak memasarkan jenama mereka untuk meyakinkan syarikat-syarikat yang berkemungkinan menjadi pemegang taruh bola sepak Sarawak.

2. Isu Barisan Kejurulatihan

Sebelum ini Sarawak pernah dikendalikan oleh jurulatih berprofil tinggi, Robert Alberts dan Datuk K. Rajagopal (gambar bawah).

Hasilnya? Kedua-duanya turut gagal menempatkan pasukan Sarawak sebagai sebuah pasukan yang digeruni di arana bola sepak negara.

Antara sebab kenapa David Usup dilantik sebelum ini adalah kerana dana yang terhad.

David Usop sebelum ini telah menyelamatkan pasukan Sarawak daripada tersingkir ke Liga Premier sebanyak dua kali. Masing-masing selepas pemergian Robert Alberts dan juga Datuk K. Rajagopal.

Dengan masalah dana yang dihadapi, pencapaian David Usop sebagai pengendali penuh skuad Bujang Senang adalah ‘kena’ dengan nilai beliau.

Lagipun, inilah kali pertama David Usup menjadi jurulatih sepenuh masa di Sarawak selepas 2 kali menjadi interim.

Sarawak menduduki tangga ke-7 dan 10 Liga Super pada musim 2014 dan 2015 di bawah bimbingan Robert Alberts dan pada tangga ke-10 pada musim lalu ketika Datuk K. Rajagopal dibawa masuk.

Musim ini kritikan terus diterima oleh David Usup yang dianggap sudah tidak relevan. Dengan keputusan yang buruk dalam beberapa perlawanan, beliau pun mengundurkan diri.

Adakah ia sudah terlambat?

3. Taktikal

Bola sepak moden menuntut bukan sekadar penghasilan bakat baru dan keazaman semata-mata. Taktikal turut memainkan peranan penting untuk memerangkap lawan sebelum menghasilkan keputusan yang diingini.

Bekas Ketua Jurulatih Sarawak FA, Robert Albert

Di sebalik segala resah tiada jurulatih tempatan berkaliber dek kerana aspek ini tidak diberikan perhatian sebelum ini, kami mahu memberitahu yang Sarawak ada jurulatih prospek yang baik.

Beliau adalah jurulatih Piala Belia 2017 Sarawak yang dibimbing oleh Safri Amit yang menggemari bola sepak moden. Tetapi ia tidak cukup, Sarawak perlukan ramai lagi jurulatih seperti ini untuk dibangunkan.

Misi FAS haruslah ada butiran untuk mencari jurulatih yang mampu membangunkan bakat muda sepertimana Tan Cheng Hoe telah lakukan bersama Kedah. FAS perlu memulakannya sekarang.

4. DNA Dan Pencarian Bakat Baharu

Sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. FAS perlu menyeragamkan DNA bola sepak Sarawak.

Ini untuk memastikan peringkat yang dianggap ‘feeder’ seperti skuad piala Presiden dapat dipromosi lebih mudah (smooth tranisition).

Sebagai contoh ialah Kedah, apabila pasukan belia mereka bermain corak dan DNA bola sepak yang sama, mereka tiada masalah untuk masuk ke dalam pasukan utama. Proses penyesuaian dapat dipercepatkan.

Pemain flanker jenis sisi kanan tidak sama dengan pemain penyerang sayap kanan. Walaupun ‘budak’ ini cemerlang di peringkat pasukan remaja, apabila diserap ke pasukan utama, beliau akan ambil masa untuk adaptasi dalam sistem yang terlalu jauh berbeza.

Skuad Piala Belia Sarawak

Pencarian bakat baharu juga perlu diperluaskan di seluruh bahagian negeri Sarawak dengan cara yang lebih sistematik.

Buat masa ini FAS belum lagi memiliki akademi bola sepak yang berada di bawah seliaan persatuan itu secara terus.

Kami dimaklumkan SMK Tabuan Jaya, Kuching merupakan sekolah yang melahirkan ramai pemain muda untuk skuad Sarawak.

Ini bermakna tumpuan pencarian pemain adalah berpusat sedangkan ada ratusan kelab amatur dan kelab komuniti di Sarawak yang berkualiti. FAS harus bijak menjadikan kelab-kelab ini sebagai rakan mereka.

Skuad Piala Presiden Sarawak

Berbalik kepada isu kekangan untuk mewujudkan akademi yang sistematik, memerlukan tenaga kerja pakar dan kos yang sangat tinggi.

Jadi FAS boleh bekerjasama dengan sekolah-sekolah lain mengikut zon dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu.

Latihan kejurulatihan kepada guru-guru di sekolah-sekolah yang terpilih adalah antara langkah yang boleh dilakukan dengan pemantauan jurulatih dari FAs ke sekolah-sekolah berkenaan dari masa ke semasa.

Ini adalah tindakan jangka masa pendek dan realistik untuk dipraktikkan buat masa ini sehinggalah FAS mampu berdiri sendiri dengan sebuah akademi pada masa hadapan.

5. Tembok dengan penyokong

FAS sudah memberikan jaminan kepada wakil kami bahawa ‘ FAS baru’ ini akan membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang mahu berbincang atau menyatakan idea mereka.

Sebelum ini difahamkan, FAS mengamalkan dasar, “Kau Siapa?”

FAS kini cuba meningkatkan lagi engagement dengan penyokong. Ini untuk memastikan pasukan Sarawak adalah tanggungjawab bersama dan tidak jauh dari hati mereka.

Sarawak FA mempunyai kumpulan penyokong yang sentiasa setia dalam turun naik pasukan.

Pemain datang dan pergi, jurulatih datang dan pergi, tetapi penyokong akan tetap di sana bersama pasukan.

Penyokong tidak mungkin akan mentadbir. Namun luahan mereka berhak didengar dan keputusan terbaik wajar dinilai untuk tindakan.

Dalam mana-mana liga di dunia, hasil kutipan tiket pada hari perlawanan adalah penyumbang penting kepada pasukan. Sarawak Negeri yang besar. Stadium Negeri juga mudah diakses.

Apa alasan untuk tidak menggariskan isu engagement dengan penyokong?

Buat penyokong, usah digariskan isu siaran langsung di kaca televisyen. RM15 harga tiket, adalah tanda sokongan pertama anda buat pasukan Sarawak.

6. Prestasi semasa

FAS harus melakukan sesuatu untuk prestasi semasa pasukan. Pasukan utama Sarawak masih bergelut dengan penyingkiran.

Sarawak banyak menggunakan pemain muda tempatan setelah beberapa pemain import gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

foto: Asiana.my

David Usup sangat terbuka untuk menyerapkan pemain muda dan pemain tempatan di dalam pasukan.

Namun begitu, prestasi pemain yang ada perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan modul latihan yang holistik,

Latihan melibatkan mengasah cara berfikir dan juga latihan taktikal perlu diperbanyakan lagi. Ini penting kerana Sarawak kini rata-rata bergerak dengan pemain muda.

Pasukan sedia ada terlalu bergantung kepada tenaga import seperti Mateo Roskam untuk menjaringkan gol.

Photo by Hazmin Hussin / www.asiana.my

Pemain muda Sarawak kerap ada isu kurang keyakinan diri bila di depan gol.

Para pemain yang sudah diberikan kepercayaan, harap anda beraksi sebaik mungkin. Peluang yang mungkin anda tidak akan dapat dalam pasukan Liga Super yang lain.

Jika anda cemerlang membantu pasukan ini yang sedang bergelut, ada peluang dapat tawaran kelab atau pasukan lain, anda bolehlah memilih masa depan anda dengan gaji lebih lumayan.

7. Keutamaan

Dengan 2 kekalahan awal dalam saingan Piala Malaysia, Sarawak sudah boleh menumpukan sepenuhnya kepada misi kekal Liga Super.

Tidak perlu pening untuk menumpukan kepada 2 pertandingan kerana squad depth yang ada tidak mampu menampung 2 tugasan yang memerlukan tuntukan 110% selepas kalah 2 perlawanan awal Piala Malaysia dan masih dibelenggu zon penyingkiran.

Rumusan: Belajar Dari Kesilapan Lalu

FAS kerap dilabel ‘FAS Never Learn!’ kerana masih gagal meletakkan bola sepak Sarawak di landasan yang lebih baik daripada yang ada hari ini.

Sebelum ini mereka ada duit tetapi gagal menguruskannya sebaiknya untuk perancangan jangka masa panjang.

Namun kami melihat ada usaha positif daripada FAS yang baru ini kerana mereka sudah melihat, duit yang banyak tidak akan menjamin kejayaan segera jika gagal diurus tadbir dengan sebaiknya.

FAS  pada hari ini dibarisi mereka yang sanggup menggalas dan menerima tempias daripada projek gagal musim lalu.

Kredit: GB13

Buat masa ini, kami merasakan Sarawak dalam proses damage limitation selepas berhadapan dengan kekangan dana akibat pengurusan yang salah pada musim sebelumnya.

Namun yang positifnya adalah pendekatan ukur baju di badan sendiri dalam pengurusan kewangan FAS pada musim ini. Kami difahamkan mereka masih dibebani masalah hutang daripada musim sebelumnya.

Buat Pengiran Bala dan pemain-pemain Sarawak, selamat maju jaya kami ucapkan.

Leave a Reply