‘Mat Yo Masih Lapar’ – 5 Sebab Sarawak United Dan Liga M 2021 Amat Penting

Norshahrul Idlan Talaha atau nama yang lebih sinonim dengan empunya diri, Mat Yo membuktikan dirinya masih berbisa apabila menjadi nadi pasukan Sarawak United untuk menewaskan Kelantan United dalam aksi Liga Premier pada malam tadi.

Walaupun sudah berusia 34 tahun iaitu usia yang berstatus veteran bagi seorang pemain bola sepak, Mat Yo membuktikan kualiti dirinya masih tinggi sebagai salah seorang penyerang terbaik tempatan di dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Berikut adalah lima perkara mengapa Liga Malaysia musim 2021 dianggap sebagai amat penting buat Matyo.

Masih laparkan kejuaraan

Pada usia 34 tahun, May Yo dianggap sebagai pemain yang kaya dengan pengalaman. Lebih dari itu, Mat Yo telah menjuarai semua kejuaraan yang pernah dipertandingkan di Liga Malaysia.

Pernah muncul juara Liga Super bersama Kelantan FA pada musim 2011 dan 2012, penyerang kelahiran Besut, Terengganu ini turut pernah menikmati detik gemilang meraih gelaran Liga Super Malaysia pada 2014 bersama JDT.

Sumber: Sarawak United

Dua kali bergelar juara Piala Malaysia ketika masih bersama Kelantan, Mat Yo turut pernah menikmati kejuaraan Piala FA bersama Pahang FA pada 2018 – kejuaraan domestik terakhir yang dinikmati pemain ini.

Musim lalu turut disifatkan sebagai musim yang berhasil buat pemain yang sinonim dengan jersi No.9 ini apabila meraih kejuaraan Liga 1 Thai bersama BG Pathum.

Satu-satunya gelaran yang tiada di dalam koleksi beliau pada ketika ini adalah gelaran Liga Premier. Walaupun ia adalah saingan Divisyen 2 dalam pertandingan domestik negara, keputusan menyertai Sarawak United pada musim ini dilihat mampu melengkapkan koleksi kejuaraan selain perkara-perkara lain yang akan menyusul di dalam artikel ini.

Ubah persepsi

Walaupun berjaya membantu BG Panthum muncul juara liga di Thailand, terdapat cakap-cakap bahawa karier Mat Yo kini semakin berada di penghujung.

Selain daripada disebabkan faktor usia, faktor minit perlawanan yang diperolehi pemain ini turut menjadi antara sebab tanggapan sedemikian. Karier Mat Yo di Thailand turut tidak dibantu dengan kontroversi berkaitan kontrak dan dengan ejen beliau sebelum ini.

Daripada 25 perlawanan liga yang dilalui BG Pathum pada musim lalu, Mat Yo hanya beraksi dalam 6 perlawanan. Hanya 3 daripadanya bermula dari kesebelasan utama. Sumber dari Soccerway menunjukkan secara keseluruhan Mat Yo hanya beraksi 208 minit.

Oleh sebab itu musim 2021 ini amat penting untuk beliau mengubah persepsi tersebut. Peluang beraksi di Liga Premier bersama Sarawak United harus dipergunakan sebaik mungkin untuk membuktikan dirinya masih mempunyai kudrat untuk beraksi di tahap tertinggi.

Minit perlawanan konsisten

Bukan sahaja bersama BG Pathum. Bersama Pahang sebelum ini, May Yo juga bukan pemain pilihan utama Dollah Salleh. Untuk membuktikan beliau mampu beraksi di tahap tertinggi secara konsisten, Mat Yo perlukan minit perlawanan – setiap minggu.

Dalam perlawanan menentang Kelantan United pada malam tadi misalnya, Mat Yo berada di dalam kesebelasan utama skuad kendalian E. Elavarasan itu.

Kedua-dua gol Sarawak United yang dijaringkan oleh Cristie Jayaseelan dan Uche Agba pada separuh masa pertama adalah hasil daripada kreativiti Mat Yo.

Gol pertama bermula dari gerakan solo Mat Yo disebelah kanan padang sebelum larian masuk ke kotak penalti diikuti satu hantaran cantik yang disempurnakan oleh Christie Jayaseelan.

Mat Yo sekali lagi menghadirkan ancaman kali ini dari sebelah kiri. Cubaan Mat Yo untuk memotong ketengah berjaya disekat tetapi menggunakan kekasaran. Maka sepakan penalti diberikan dan Uche Agba menyempurnakan sepakan tersebut.

Prestasi sebegini sekiranya dikekalkan pasti akan membantu Mat Yo menjadi nama pertama di dalam kesebelasan utama senarai pemain E. Elavarasan – peluang yang sukar didapati oleh pemain lincah ini sejak beberapa musim lalu.

Penyerang terbaik negara

Norshahrul Idlan Talaha pernah dinobatkan sebagai penyerang dan pemain terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan di tiga edisi (2010 – 2012). Di manakah status itu pada hari ini?

Kemampuan menampilkan aksi terpuji seperti dalam perlawanan menentang Kelantan United pasti mampu mengembalikan Norshahrul Idlan Talaha sebagai salah seorang penyerang terbaik negara.

Mari kita bersikap jujur dengan diri sendiri. Posisi No.9 di kalangan penyerang tempatan ibarat pupus. Berapa ramai lagi penyerang di posisi tersebut beraksi secara konsisten setiap minggu. Shahrel Fikri (Selangor), Safie Sali (KL City) adalah sebahagian daripada mereka.

Untuk Sarawak United, Norshahrul Idlan Talaha bergandingan dengan penyerang import dari Nigeria Uche Agba.

E. Elavarasan bijak menggunakan Mat Yo sebagai penyerang kedua, beraksi sedikit di belakang Uche Agba. Gandingan kedua-duanya tampak mengancam buat masa ini.

Peluang bersama Harimau Malaya 

Perkara kelima ini adalah perkara terpenting di dalam senarai ini. Tidak seperti dahulu, pilihan untuk berada di dalam skuad kebangsaan kendalian Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe kini semakin sukar.

Pengambilan pemain naturalisasi seperti Mohomadou Sumareh dan Guilherme de Paula di posisi yang sama juga akan mewujudkan lebih banyak persaingan buat Mat Yo.

Sumber: FAM

Sebelum ini Mat Yo adalah antara pemain pilihan utama Tan Cheng Hoe untuk mana-mana tugasan antarabangsa. Menyedari kini saingan menjadi lebih sukar, maka ianya penting untuk Mat Yo terus membuktikan kemampuan dan nilai dirinya di mata pengendali itu.

Apatah lagi kini pusingan kelayakan Piala Asia/Piala Dunia bakal bersambung kembali selepas dihentikan sejak tahun lalu akibat pandemik yang melanda.

Penutup

Mat Yo adalah antara pemain tempatan unik yang pernah dimiliki negara. Musim ini menjadi musim terpenting buat beliau.

Buat Mat Yo, selamat maju jaya kami ucapkan.

 

Kredit Foto Hadapan: Kelantan United

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

 

Baca juga artikel menarik kami yang lain mengenai Norshahrul Idlan Talaha melalui pautan:

Hijrah Ke Thailand Bukan Kerana Wang – Mat Yo

Analisis: Pahang Pilih ‘Salin’ Penyerang Import, Kuburkan Impian Penyerang Tempatan

Dollah Salleh Mahu Lebih Ramai Ikut Jejak Langkah Norshahrul

 

Leave a Reply