Dollah Salleh Akui Sri Pahang Kian Hilang Keyakinan, Ketandusan Penyerang

Lee Tuck Paulo Josue KL City Sri Pahang 2021 keyakinan dollah salleh

Sri Pahang FC melalui empat perlawanan tanpa kemenangan dan kekalahan 1-2 kepada KL City FC, malam tadi, seakan-akan menambah derita buat mereka.

Selepas lapan perlawanan, mereka sedang berada di zon penyingkiran, di kedudukan ke-11 Liga Super 2021 dengan hanya mengumpul lima mata. Mereka juga hanya meledak enam gol dan sudah bolos 13 gol – ketiga terburuk di liga pada ketika ini.

Selepas tiga aksi tanpa menang, KL City juga sebenarnya bergelut untuk memburu tiga mata, namun perbezaan jelas antara skuad The City Boys dan Sri Pahang adalah sentuhan penyudah. Ini yang membolehkan tuan rumah meraih kemenangan.

Menurut pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh, sehingga kini, beliau masih tercari-cari cara untuk mengembalikan sentuhan skuad kendaliannya sejak mengambil alih daripada Thomas Dooley bermula pada perlawanan ke-3, berdepan Melaka United.

Masih tiada perubahan ketara, Sri Pahang di bawah kendalian Dollah Salleh, apabila hanya merekodkan satu kemenangan berdepan Sabah FC, dua keputusan seri dan tiga kekalahan. Bersama Thomas Dooley, mereka tewas dua perlawanan awal.

Bercakap dalam sidang media, Dollah berkata, “Pasukan Pahang memang sekarang ketandusan penyerang, sebab itu kita boleh mencipta [peluang] tetapi kita tidak dapat untuk menjaringkan gol. Separuh masa kedua baru nampak peningkatan.”

Tok Gajah telebih dahulu ketinggalan dua gol sebelum berjaya merapatkan jurang gol pada penghujung perlawanan. KL City mendahului aksi menerusi jaringan oleh kapten, Paulo Josue di minit ke-18 dan sentuhan mudah bek kiri, Daniel Ting di minit ke-70.

Herold Goulon akhirnya berjaya memberikan jaringan saguhati buat pasukannya di penghujung perlawanan menerusi tandukkan selepas menerima hantaran lintang kemas daripada Baqiuddin Shamsudin. Ia selepas mereka menggandakan asakan.

Menurut Dollah Salleh lagi, “Kita terlalu menghormati pasukan lawan, keyakinan itu tiada dalam pasukan. Separuh masa kedua baru nampak banyak peningkatan khasnya dalam 15 minit terakhir, baru nampak kita nak serang dan sebagainya.”

Sri Pahang memiliki beberapa peluang sebelum jaringan Herold Goulon itu, namun jelas sentuhan akhir menampakkan yang mereka kehilangan ‘sesuatu’.

Mungkin benar apa yang dikatakan Dollah Salleh bahawa skuadnya ketika ini hilang keyakinan terutamanya keyakinan membuat sentuhan penyudah. Mungkin deretan keputusan yang mengecewakan telah membuatkan mereka semakin ‘hilang’ identiti.

KREDIT FEATURED IMAGE: MFL

Baca lagi artikel lain mengenai Dollah Salleh dan Sri Pahang:

Dollah Salleh Mungkin Terpaksa Rombak Jentera Serangan

‘Pantang Tok Gajah Menyerah!’ – Sri Pahang Masih Belum Putus Asa

Kepercayaan Dollah Salleh Kunci Kebangkitan Lee Tuck

Leave a Reply