Kenali Rasmus Højlund, Prospek Penyerang Man United Yang Bakal Buatkan Pasukan Lawan Iri Hati

Manchester United (Man United) kini semakin rancak meneroka pasaran pemain ketika jendela perpindahan musim panas sebelum saingan liga bakal bermula tidak lama lagi.

Mereka sudahpun berjaya mendapatkan khidmat pemain berprofil tinggi seperti Mason Mount, dan juga penjaga gol yang dibawa masuk dari Inter Milan, André Onana.

Namun, tanpa berselindung, Erik Ten Hag mengakui keutamaan mereka kali ini adalah untuk membawa masuk seorang pemain yang bermain di posisi ‘nombor 9’ serta boleh menyelesaikan isu jaringan gol buat pasukan yang diberi jolokan ‘The Red Devils’ ini.

Antara nama pemain hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak beberapa minggu ini adalah Rasmus Højlund, penyerang muda pasukan Atalanta yang kini bersaing di Serie A, Itali.

Ketika artikel ini ditulis, Man United dikhabarkan sudah hampir pasti untuk berjaya mendapatkan khidmat penyerang muda berpotensi besar tersebut.

Pemain muda kelahiran Denmark ini seakan-akan memenuhi kriteria seorang penyerang yang dikehendaki oleh Ten Hag, dan analisis kami kali ini akan membicarakan kualiti teknikal dan taktikal yang dimiliki oleh Højlund sehingga menjadikan dirinya sebagai pemain sasaran utama pasukan Man United ketika ini.

Kepantasan dan kelicikan larian di belakang pertahanan lawan.

Højlund memiliki kepantasan larian yang mampu membawa ancaman kepada pasukan lawan, dan kualiti ini dilihat bakal melengkapi taktikal Man United yang turut merencana peluang menjaringkan gol menerusi transisi permainan pantas seperti yang dipamerkan mereka musim lalu.

Mengambil contoh aksi liga Seie A di antara Lazio dan Atalanta di atas, Atalanta berjaya merampas penguasaan bola, dan Højlund ketika ini berada di kawasan tengah padang.

Tatkala rakan sepasukannya melancarkan transisi serangan, Højlund memulakan lariannya dari kawasan dalam.

Apa yang menarik, penyerang muda ini berjaya menyediakan sokongan di dalam kawasan penalti dalam tempoh 4 saat sahaja sehingga membantu dirinya untuk menjaringkan gol menerusi situasi transisi serangan ini.

Højlund juga dilihat untuk mampu membawa nilai tambah buat serangan pasukan Man United menerusi pergerakan tanpa bola yang dimilikinya, dengan mensasarkan ruang di belakang barisan pertahanan lawan.

Merujuk kepada gambar di atas, Højlund bijak menghidu ruang di belakang pertahanan lawan, sekaligus mendorong dirinya untuk menyediakan larian sokongan buat rakan sepasukannya.

Serta meletakkan dirinya dalam posisi serangan yang baik untuk menjaringkan gol menerusi gerakan serangan ini.

Pergerakan tanpa bola yang berkualiti ini juga turut membantu dirinya untuk mencipta ruang buat rakan sepasukan yang lain. Larian di belakang pertahanan lawan akan mengalihkan perhatian pemain lawan terhadapnya.

Sekaligus mecipta bukaan ruang buat rakan sepasukannya.

Eksploitasi ruang dan masa daripada rakan sepasukan akan menterjemahkan situasi ini kepada peluang jaringan gol.

Man United mahukan penyerang yang hebat dalam situasi satu lawan satu

Ten Hag pernah menyatakan bahawa beliau mendambakan seorang penyerang yang mampu menghadapi situasi satu lawan satu dengan baik, bagi membantu pasukannya untuk menjaringkan gol menerusi situasi ini.

Højlund dilihat turut mempunyai keupayaan yang dimahukan oleh pengurus Man United ini apabila beliau sentiasa mempamerkan kualitit tersendiri ketika situasi satu lawan satu.

Menerusi gambar di atas, Atalanta berjaya merampas semula penguasaan bola.

Pemain Atalanta dengan segera melancarkan transisi serangan dengan melepaskan hantaran kepada Højlund.

Meskipun diapit oleh dua pemain lawan pada awalnya, Højlund berjaya melepasi tekanan yang telah diberikan oleh pemain lawan.

Sekaligus membuktikan kemampuan dirinya untuk berhadapan dengan situasi satu lawan satu ini dengan baik.

Serta membolehkan dirinya untuk sentiasa berada pada kedudukan serangan yang ideal bagi menjaringkan gol.

Kualiti untuk bermain dengan membelakangkan gol lawan

Højlund turut mempunyai kemampuan untuk melindungi bola, meskipun bermain dalam keadaan membelakangkan gol pasukan lawan.

Menerusi situasi di atas, Højlund menerima hantaran bola daripada rakan sepasukannya.

Dalam keadaan dirinya membelakangkan gol pasukan lawan.

Namun, Højlund berkemampuan untuk melepasi tekanan ini, serta membuka ruang buat dirinya untuk mencipta peluang menjaringkan gol.

Ancaman menerusi perebutan bola di udara

Meskipun hanya berketinggian sekitar 6 kaki, penyerang muda ini dilihat tidak mempunyai masalah untuk menewaskan pemain lawan yang memiliki fizikal yang lebih baik berbanding dirinya bagi memenangi perebutan bola di udara.

Antara perkara yang membantu dirinya menjaringkan gol menerusi tandukan adalah ekoran kebijaksanaan dirinya untuk sentiasa berada pada posisi dan masa yang ideal bagi menyambut setiap hantaran lintang daripada rakan sepasukannya.

Sekaligus membolehkan dirinya untuk memenangi perebutan bola di udara ini bagi mencipta peluang jaringan gol.

Pelaburan jangka masa panjang Man United

Kematangan Højlund untuk beraksi di peringkat tertinggi kadang kala membuatkan ramai pihak yang terlupa bahawa pemain ini baru sahaja berusia 20 tahun!

Sekiranya Man United berjaya merekrut pemain ini ke Old Trafford, sudah semestinya ia akan menjadi salah satu pelaburan jangka masa panjang yang baik, memandangkan Højlund mempunyai masa yang sangat panjang untuk berkembang .

Kehadiran pemain ini juga dilihat bakal membawa keterujaan kepada para peminat The Red Devils yang sentiasa mendambakan permaianan berorientasikan serangan pantas dan mengujakan, serta mampu mendatangkan rasa gerun buat pasukan lawan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN