Kai Havertz: Kisah Budak Kampung Dari Aachen Yang Menjulang Chelsea Di Persada Eropah

Kai Havertz Chelsea

Kai Havertz muncul wira Chelsea selepas jaringan tunggalnya ke atas Manchester City dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tempoh hari memberi kejuaraan yang cukup bermakna.

Baru berusia 21 tahun, Havertz sudah pun dianggap sebagai bintang utama kelab London tersebut walaupun berdepan dengan permulaan yang agak mengecewakan.

Beliau tiba di Stamford Bridge dengan yuran perpindahan sekitar £62 juta dan boleh meningkat sehingga £71 juta bersama bonus tambahan. Ia menjadikan beliau pembelian kedua termahal Chelsea selepas Kepa Arrizabalaga.

Dilabel projek gagal

Havertz serta seorang lain pemain Jerman, Timo Werner yang dibawa masuk dari Bayer Leverkusen dan RB Leipzig pada awal musim ini dicanang sebagai bintang masa depan Chelsea berdasarkan pencapaian mereka bersama bekas kelab masing-masing.

Namun selepas saingan memasuki separuh musim, gandingan kedua-dua pemain tersebut di bawah Frank Lampard hanya mampu merekodkan lima gol dan enam bantuan jaringan.

Havertz yang kerap diletak di posisi tengah seolah-olah hilang punca dan ‘terkial-kial’ mencari rentak terbaik dalam corak dan sistem permainan bola sepak Inggeris, lalu ia menjurus kepada salah satu faktor pemecatan Lampard.

Kemudian Thomas Tuchel dibawa masuk dengan harapan yang tinggi oleh pihak pengurusan Chelsea agar jurulatih warga Jerman tersebut dapat membawa idea dan pendekatan yang lebih segar terutamanya dalam mencungkil potensi terbaik dari dua pemain penting ini.

Taktikal yang memberi tekanan kepada pihak lawan apabila kehilangan bola selain memperkenalkan gaya serangan balas yang cukup ampuh jelas merupakan pendekatan yang diperlukan oleh Havertz yang selama ini telah dibentuk dengan DNA bola sepak Jerman.

Budak kampung

Kisah hidup Havertz bermula di sebuah kampung di Mariadorf, utara wilayah Aachen. Di situlah tempat beliau dibesarkan dan memanjat satu demi satu anak tangga untuk muncul sebagai salah seorang pemain terbaik dalam dunia bola sepak hasil dari sokongan dari keluarganya.

“Atuk saya yang paling beriya galakkan saya bermain bola sepak. Dia adalah orang pertama mengajar saya mencintai sukan ini. Abang dan ayah saya juga pernah bawa saya bermain bola sepak ketika saya masih kecil.

“Dalam keluarga saya, semua orang ‘gilakan’ bola sepak. Di sekeliling kami semuanya berkisarkan bola sepak. Jadi saya membesar dalam suasana seperti itu dan daripada situlah minat kepada sukan ini semakin besar.” kata Havertz dalam tembual bersama laman web Bundesliga.

Hasilnya, ketika baru berusia 4 tahun, beliau sudah pun menyertai program latihan bola sepak di sebuah akademi kelab bola sepak tempatan, Alemannia Mariadorf yang dipengerusikan sejak sekian lama oleh datuknya, Richard.

“Sejak saya kecil lagi, orang sudah bercakap mengenai potensi saya untuk pergi lebih jauh dalam kerjaya ini, tetapi ianya memerlukan 10 hingga 12 tahun lagi untuk berpeluang beraksi di Bundesliga atau mana-mana liga utama yang lain.”

Sepanjang bersama kelab kecil itu, Havertz akan sentiasa beraksi dengan pasukan yang lebih tua daripada umur sebenarnya dan ia menjadikan beliau menerima pendedahan lebih awal berbanding rakan sebayanya yang lain.

Lebih matang dari usia

Pada 2009, ketika berusia 10 tahun, beliau menyertai Alemannia Aachen – kelab terbesar di wilayah tempat tinggalnya yang beraksi di liga divisyen kedua (Bundesliga 2) dan Havertz adalah penyokong setia kelab itu.

Namun beliau hanya kekal setahun sahaja di kelab tersebut. Bukan sebab tidak cukup bagus, tetapi kerana Havertz terlalu bagus untuk berada di sebuah kelab kecil. Pemantau bakat telah melihat cara permainannya sejak beraksi untuk Mariadorf lagi.

Ketika beraksi untuk skuad Alemannia Aachen bawah 12 tahun (B-12) menentang skuad B-12 Bayer Leverkuson, Havertz baru berusia 11 tahun, setahun lebih muda daripada pemain lain.

“Saya tidak ingat sangat perlawanan tersebut. Rasanya kami [Leverkusen] menang 8-3, tetapi dia [Havertz] telah menjaringkan ketiga-tiga gol untuk pasukannya. Itulah kali pertama saya kagum dengan Kai.” kata Slawomir Czarnieki, jurulatih pasukan remaja di BayArena.

Havertz kemudian dibawa menyertai Leverkusen pada musim panas 2010 dan meneruskan pembangunan bakatnya bersama program di akademi pasukan tersebut.

Walaupun pemain kaki kiri itu pada hari ini cukup dikenali dengan ketinggiannya, tetapi ada ‘pengalaman pahit’ yang beliau hadapi untuk mendapatkan fizikal seperti itu.

“Ketika berusia 14 atau 15 tahun, saya masih salah seorang pemain yang paling kecil dalam pasukan. Kemudian saya mula malalui proses untuk melonjakkan tumbesaran tubuh badan. Perubahan fizikal amat diperlukan kerana ia akan mempengaruhi keseluruhan cara kita bermain bola sepak.

“Ianya agak menyeksakan pada waktu itu terutamanya ketika beraksi untuk pasukan B-15 dan B-16. Saya tidak banyak memulakan perlawanan dan lebih kerap menghabiskan masa di bangku simpanan.”

Namun pemain berbakat sepertinya tidak menjadikan cabaran itu untuk menghentikannya. Sekalipun berdepan dengan beberapa masalah, beliau telah membantu Leverkusen menjulang kejuaraan Bundesliga B-17 pada 2016 di mana beliau telah menjaringkan 18 gol dalam 28 perlawanan.

Mencipta sejarah dan memecah rekod

Penampilan pertamanya untuk skuad utama Leverkusen adalah pada Oktober 2016, masuk sebagai pemain gantian kepada Charles Aranguiz sewaktu pasukannya tewas kepada Werder Bremen.

Musim pertama di Bundesliga, Havertz telah beraksi 24 perlawanan dan merekodkan empat gol serta enam bantuan jaringan. Pada musim tersebut juga beliau beraksi dalam tiga perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pendidikan alat perubahan

Ketika ditanya mengenai saat yang paling sukar sepanjang kariernya, Havertz menjawab ianya adalah apabila beliau perlu menamatkan peperiksaan di sekolah kerana pada masa yang sama ketika itu beliau sedang rancak beraksi selepas berjaya menembusi skuad utama.

“Saya perlu mengambil peperiksaan sekolah menengah dan dalam masa sama saya juga perlu bermain untuk perlawanan DFB Pokal.

“Saya menjawab soalan peperiksaan pada hari Rabu, iaitu hanya sehari selepas saya bermain pada petang Selasa di mana perlawanan itu berlanjutan sehingga masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.

“Saya pulang ke rumah agak lewat dan perlu menghadapi peperiksaan pada keesokan harinya. Saya tidak mahu cakap apa yang berlaku dengan peperiksaan itu,” katanya sambil tergelak.

Havertz juga mendedahkan beliau pernah terlepas untuk beraksi di peringkat 16 pasukan terakhir UCL menentang Atletico Madrid apabila Leverkuson memberikan cuti tiga hari untuk beliau menamatkan peperiksaan A-level.

Begitu juga pada awal musim keduanya, beliau terpaksa ‘mengorbankan’ empat perlawanan Bundesliga demi memberi perhatian kepada pelajaran. Namun apabila mula kembali beraksi, beliau menamatkan musim tersebut dengan menjaringkan 17 gol pada usia 19 tahun.

Selain muncul pemain termuda yang mencecah 30 gol dalam Bundesliga, beliau juga telah mencatat rekod pemain termuda yang membuat 100 penampilan di liga utama tersebut pada usia 20 tahun enam bulan.

Jelmaan Michael Ballack?

Menurut bekas pemian Liverpool, Dietmar Hamann dalam temubual bersama Sky Sports, Havertz yang beraksi di posisi tengah menyerang itu mengingatkannya kepada legenda Jerman, Michael Ballack sewaktu muda.

“Dia mempunyai pakej yang lengkap, pemain dengan bakat semulajadi, mampu gunakan kedua-dua kakinya, tinggi dan bagus dalam perebutan bola di udara.

“Dia pemain yang serba boleh. mampu bermain di mana-mana sahaja posisi di bahagian serangan. Saya rasa Havertz adalah pemain terbaik yang ada di Jerman pada waktu ini.

Penutup

Hakikatnya bukan mudah buat semua pemain terutamanya bagi pemain muda untuk menyesuaikan diri di negara baharu, apatah lagi liga popular yang paling mendapat tumpuan di seluruh dunia seperti EPL.

Tetapi kini di bawah bimbingan Tuchel, sentuhan jurulatih dari Jerman ini membuatkan Havertz semakin menyinar sebagai pemain nombor 9 jadian iaitu posisi terbaiknya selama ini.

Tuchel cukup terkenal dengan kebijaksanaannya dalam menerapkan taktikal bola sepak moden dan telah membuktikannya keupayaannya ketika membimbing Mainz, Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain (PSG).

Kualiti yang dimiliki oleh Havertz tidak perlu dipertikai lagi kerana bersama Leverkusen, beliau telah pun membuktikannya dengan merekodkan 46 gol dan 31 bantuan jaringan dalam 150 perlawanan hanya dalam tempoh kurang empat tahun.

Dengan usia yang masih muda, masih banyak ruang dan peluang untuk beliau terus berkembang dan menjadi salah seorang pemain terbaik dunia satu hari nanti.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Havertz dan Bundesliga:

Adakah Havertz Bakal Menjadi ‘Besi Karat’ Seterusnya Di Chelsea?

Mula Pamer Kualiti, Kai Havertz Mahu Terus Ledakkan Jaringan

Ralph Hasenhuttl vs Thomas Tuchel, Pertembungan ‘DNA Bundesliga’ Di EPL

Leave a Reply