Datuk Hamidin Beri Bayangan “Pemain Ke-26” Bakal Sertai Harimau Malaya Hari Ini?

Adakah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin memberikan bayangan bahawa pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools akan menyertai skuad Harimau Malaya di Dubai dalam masa terdekat?

Pasukan negara baharu sahaja menamatkan sesi latihan dan perlawanan persahabatan di Manama, Bahrain, dan sedang dalam rangka persiapan terakhir menghadapi saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE.

Melalui satu video yang dikongsi di Instagram Story FAM, Datuk Hamidin tampil dengan satu mesej berbunyi: “Sekarang waktu jam 8 pagi di Dubai. Nantikan ketibaan pemain ke-26 Harimau Malaya.”

Bagaimanapun dalam video singkat tersebut tidak menyatakan siapakah pemain ke-26 yang dimaksudkan. Sehingga artikel ini ditulis, identiti pemain tersebut turut kekal misteri.

Sebelum ini khabar angin bertiup kencang mengatakan pemain FC Midtjylands, Dion Cools akhirnya telah memilih untuk menyarung jersi pasukan negara dan akan menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Dubai.

Malah nama pemain itu merupakan antara 16 pemain kelab itu yang dilepaskan untuk tugasan antarabangsa pada minggu lalu, sebelum namanya dipadam tanpa penjelasan.

Kem Harimau Malaya turut enggan mengulas isu tersebut sebelum ini. Jika benar Cools merupakan pemain ke-26 yang dimaksudkan itu, maka ia boleh menjadi satu strategi berunsur kejutan buat pasukan lawan di pusingan kelayakan ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal menentang tiga lawan sukar iaitu UAE, Vietnam, dan Thailand mulai 3 Jun hadapan, dan pasukan negara perlu mendapatkan keputusan positif untuk memungkinkan kemaraan ke Piala Asia 2023 di China secara automatik, selain untuk melangkah ke pusingan ketiga Piala Dunia.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Dion Cools:

5 Sebab Mengapa Harimau Malaya Perlukan Dion Cools

Dion Cools: Belum Ada Panggilan Daripada Harimau Malaya Setakat Ini

JDT Bakal Umum Dion Cools Pada 20 Disember Ini?

 

Leave a Reply