Bekas penyerang Tottenham Hotspur, Jurgen Klinsmann mengakui beliau meninggalkan kelab itu pada musim 1995/96 adalah untuk mencari kelab yang lebih berpeluang untuk memenangi piala.
Keadaan itu menyebabkannya kembali ke Jerman setelah enam musim berkelana ke Itali, Perancis dan England untuk menyarung jersi kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich.
Namun bagi Klinsmann, beliau merasakan langkahnya itu tidak perlu diikuti oleh peledak berbisa Tottenham, Harry Kane kerana merasakan beliau masih mampu untuk mengecapi nikmat kejuaraan di bawah bimbingan Jose Mourinho.
Nama Kane pada ketika ini sentiasa disebut untuk meninggalkan Tottenham Hotspur Stadium dengan laporan mengatakan pemain berusia 26 tahun itut amat dahagakan kejayaan.
Alan Shearer, Rio Ferdinand serta Andre Villas-Boas menjadi antara individu yang berpendapat Kane seharusnya berhijrah untuk beliau menjulang trofi pertama dalam sejarah kariernya.
Tetapi pendapat itu nyata tidak disokong oleh Klinsmann yang berjaya menjaringkan 20 gol dalam 41 penampilannya di Liga Perdana Inggeris bersama Tottenham Hotspur pada musim 1994/95.
”Dia boleh mencapai apa sahaja yang bermain di mindanya,” ujar Klinsmann menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Dia sangat berbakat, luar biasa dan dia sekarang berada di tahap di mana dia lebih matang. Dia bukan lagi seorang pemain muda, walaupun sekiranya ada merasakan dia adalah pemain muda.”
”Melihatnya dari kejauhan, anda berharap dia akan mendapat gelaran [juara] pada ketika ini.”
”Apabila anda menikmati kerjaya profesional dan anda mendapat peluang untuk bermain bersama lima kelab terbaik dalam mana-mana negara di dunia, ia adalah berkaitan memenangi kejuaraan.”
”Jadi oleh sebab itu, saya yakin untuk dia boleh memenangi trofi bersama Spurs – itulah perkara penting di akhirnya nanti.”
”Itulah sebabnya mengapa saya meninggalkan [Spurs] pada tahun 1995. Walaupun saya menyukai untuk berada di White Hart Lane, saya harus berhijrah ke Bayern Munich dengan mengatakan, ”ya, sudah kesuntukan masa. Saya sudah berusia 31 tahun dan saya perlu untuk menang beberapa trofi lagi.”
”Tetapi dia mempunyai peluang bersama Spurs, dia mempunyai seorang jurulatih yang cukup hebat [Mourinho], pasukannya juga hebat dan kita perlu terus berusaha untuk menyaksikan perkara itu berlaku cepat atau pun lambat,” tambah Jurgen Klinsmann lagi.