8 Jaringan Hatrik Diledakkan Harry Kane Dalam EPL

Harry Kane

Kredibiliti penyerang antarabangsa England yang merupakan peledak utama Tottenham Hotspur, Harry Kane nyata tidak boleh dipersoalkan apabila beliau telah menjaringkan 136 jaringan dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Beliau juga adalah merupakan penjaring terbanyak bagi dua musim berturut-turut apabila berjaya meraih gelaran tersebut pada tahun 2015/16 (25 gol) dan 2016/17 (29 gol).

Menjadi sebagai salah seorang di antara penyerang terbaik di England dan dunia ketika ini, Harry Kane pasti berkeupayaan untuk menghasilkan hatrik dalam satu-satu perlawanan liga dan ianya dibuktikan apabila pemain berusia 27 tahun ini telah menghasilkan 8 jaringan hatrik setakat ini.

Jaringan hatrik yang dihasilkan adalah pada perlawanan-perlawanan berikut:

1) Tottenham Hotspur lawan Leicester City (21 Mac 2015)

Jaringan hatrik pertama dari Harry Kane menjelma pada perlawanan ke-30 dalam saingan EPL musim 2014/15 yang menyaksikan Spurs pada musim tersebut menamatkan saingan di tempat yang ke-5.

Kane tidak menunggu lama untuk meletakkan nama sebagai penjaring pada minit ke-6 apabila berjaya menyudahkan kuisan dari Eric Dier untuk membuka tirai jaringan.

Kane menambah jaringan kedua menerusi rembatan ekoran kesilapan pertahanan Leicester City yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya namun bola tepat ke kaki Kane untuk melakukan rembatan.

Beliau akhirnya melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti pada babak kedua.

2) Tottenham Hotspur lawan AFC Bournemouth (25 Oktober 2015)

Spurs yang berkunjung ke Dean Court dikejutkan dengan jaringan minit pertama oleh Matt Ritchie. Kane bagaimanapun pantas untuk memadamkan kembali kelebihan tersebut apabila menyempurnakan sepakan penalti selang 8 minit kemudian.

Jaringan kedua Kane menjelma pada minit ke-56 selepas hantaran dari Christian Eriksen berjaya disambar Kane untuk menewaskan Artur Boruc di gawang tuan rumah.

Berpunca dari sepakan percuma dan tandukan rendah dibuat Toby Alderweireld, Kane walaupun dikawal rapi oleh pertahanan Bournemouth tetap berjaya melakukan rembatan untuk hatrik peribadi keduanya dalam saingan EPL.

Spurs berjaya membelasah tuan rumah dengan keputusan 5-1.

3) Tottenham Hotspur lawan West Bromwich Albion (14 Januari 2017)

Musim 2016/17 merupakan peluang paling hampir buat Spurs untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila menamatkan saingan di tempat kedua.

Kane membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 setelah beliau yang tidak dikawal mendapat hantaran dari Eriksen, berjaya melakukan rembatan yang memperdayakan Ben Foster.

Penyerang yang mendapat perhatian dari Real Madrid ini terus menambah jaringan pada babak kedua selepas kesilapan yang dilakukan Ben Foster apabila lambat untuk kembali ke posisinya disudahkan dengan kemas oleh Kane bagi gol keduanya.

Kombinasi menarik Harry Kane dengan Delle Alli menghasilkan jaringan keempat buat Spurs pada perlawanan tersebut dan seterusnya merupakan hatrik buat Kane.

4) Tottenham Hotspur lawan Stoke City (26 Februari 2017)

Masih segar dengan kejayaannya ketika bertemu West Brom, Kane sekali lagi meledakkan hatrik selang 4 perlawanan apabila menjadikan Stoke City pula sebagai mangsa seterusnya di White Hart Lane.

Ketiga-tiga jaringan Kane tersebut terhasil pada babak pertama iaitu di minit ke-14, 32 dan 37.

5) Tottenham Hotspur lawan Leicester City (18 Mei 2017)

Sentuhan penyudah berbisa yang dimiliki Kane sekali lagi dibuktikan apabila beliau bukan sahaja menjaringkan hatrik pada perlawanan ini malah turut menambah satu lagi gol untuk empat jaringan dihasilkan bagi menjarakkan diri dari Romelu Lukaku (ketika ini bersama Everton) dalam senarai penjaring terbanyak liga.

Pada perlawanan yang dimenangi Spurs dengan keputusan 6-1 itu, Kane menyumbangkan gol pada minit ke-25, 63, 88 dan menutup tirai jaringan pada masa kecederaan.

6) Tottenham Hotspur lawan Hull City (21 Mei 2017)

Selepas berkenduri gol di King Power, Tottenham Hotspur tidak memberikan belas kasihan kepada Hull City pada perlawanan terakhir liga apabila menumbangkan kelab yang tersingkir ke Liga Championship itu dengan keputusan 7-1.

Kane sendiri berjaya melengkapkan hatrik ke-4 beliau pada musim ini dan sekaligus mengesahkannya untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak buat musim kedua berturut-turut dengan 29 gol.

7) Tottenham Hotspur lawan Burnley (23 Disember 2017)

Musim berikutnya menyaksikan Harry Kane meneruskan rentak cemerlang dengan meledakkan hatrik pada aksi menjelang Krismas apabila meledakkan tiga jaringan di Turf Moor untuk mencatatkan kemenangan 3-0.

Kane menyempurnakan sepakan penalti seawal minit ketujuh setelah Dele Alli dikasari dalam kawasan penalti tuan rumah.

Memasuki babak kedua, penyerang prolifik itu menambah dua lagi jaringan pada minit ke-69 dan 79 untuk melengkapkan hatrik ketujuh peribadinya dalam saingan EPL.

8) Tottenham Hotspur lawan Southampton (26 Disember 2017)

Satu lagi ‘back to back hat-trick’ yang dicipta oleh Kane selepas beliau mengulangi prestasi tersebut pada ‘Boxing Day’ setelah Tottenham Hotspur berjaya menundukkan Southampton dengan keputusan 5-2 pada aksi yang berlangsung di Wembley.

Kane membuka tirai jaringan pada minit ke-22 selepas beliau bijak menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil Christian Eriksen. Berselang 17 minit kemudian, Kane menambah jaringan kedua peribadi apabila mudah menolak masuk hantaran lintang dari Son Heung-min.

Kecemerlangan tersebut diteruskan menerusi ledakkan hatrik pada minit ke-67 sekaligus menghadiahkan lapan jaringan hatrik dalam saingan liga buat Harry Kane.

Kredit foto: Dominic Lipinski/PA Images via Getty Images

Leave a Reply