Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson mengakui adalah sesuatu yang ganjil sekiranya melihat trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dijulang tanpa kehadiran penyokong di stadium.
Dengan wabak COVID-19 masih lagi belum lenyap di muka bumi pada ketika ini, mana-mana saingan liga yang ingin disambung pasti akan diadakan tanpa kehadiran penyokong dan terdapat kebiasaan baharu perlu diikuti.
Kempen EPL juga dikatakan akan kembali bersambung pada pertengahan bulan Jun ini dan ia memberi isyarat jelas sekiranya berjalan dengan lancar, Liverpool akan menjulang trofi tersebut buat pertama kali tanpa kehadiran penyokong setia mereka.
Liverpool hanya memerlukan dua kemenangan sahaja lagi dari baki sembilan perlawanan liga musim ini untuk melakar sejarah muncul juara pertama kali sejak EPL mula diperkenalkan pada tahun 1992.
Namun bagi Henderson, perjuangan beliau dan rakan sepasukan untuk memburu piala tersebut masih belum selesai selagi enam mata itu tidak dicapai.
”Sudah tentu ia merupakan perasaan yang cukup berbeza kerana sekiranya anda memenangi dan menerima trofi kejuaraan tanpa ada penyokong ‘disisi’, ia akan menjadi sesuatu yang sangat ganjil.”
”Ia sebenarnya masih belum selesai. Kami masih mempunyai tugasan yang harus dilakukan dan kami perlu untuk beraksi di tahap tertinggi sehinggalah musim berakhir kerana kami mahu menamatkan saingan sehabis baik untuk memastikan ia menjadi musim yang penuh.”
”Selepas itu, sama ada kami memenanginya atau apa sahaja yang berlaku, kemudian [menerima] trofi dengan tanpa penyokong, anda perlu menghadapinya ketika tiba saat itu.”
”Diharapkan ianya berlaku [muncul juara EPL]. Kami masih di kedudukan yang cukup baik,” ujar Jordan Henderson menurut laporan Goal.
Selepas mengharungi 29 perlawanan liga, Liverpool meninggalkan dengan sangat jauh juara bertahan, Manchester City dengan kelebihan 25 mata.