Jordan Henderson Pemain Terbaik England 2019

Henderson

Kapten Liverpool, Jordan Henderson telah diangkat sebagai pemain terbaik England untuk tahun 2019.

Laman Goal menyebut, Henderson telah menewaskan dua lagi calon berkualiti untuk meraih anugerah tersebut bagi melengkapkan tahun 2019 yang cukup cemerlang buat beliau.

Henderson menewaskan pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling dan juga penyerang prolifik Tottenham Hotspur, Harry Kane untuk memenangi anugerah tersebut.

Rekod cemerlang Henderson yang menjulang UEFA Champions League, UEFA Super Cup dan juga Piala Dunia Kelab menjadikan beliau pilihan untuk memperoleh anugerah tersebut.

Namun begitu, pencabar terdekat beliau iaitu Sterling tidak kurang hebatnya apabila memenangi tiga kejuaraan domestik iaitu Premier League, Carabao Cup serta FA Cup.

Sementara Kane pula cemerlang bersama skuad England apabila menyumbang 12 gol daripada 10 penampilan.

Bagi kategori wanita pula, bintang Olympique Lyonnais iaitu Lucy Bronze memperoleh anugerah tersebut.

Bronze mengharungi musim cukup hebat pada 2019 apabila mendapat empat piala bersama-sama kelabnya apabila menjuarai liga, piala liga, Piala Perancis dan juga liga juara-juara Eropah.

Beliau juga menjadi pemain Inggeris pertama yang memenangi pemain terbaik wanita UEFA.

Leave a Reply