Adakah ini bakal menjadi berita gembira buat penyokong Manchester United mengenai Jesse Lingard dan Phil Jones?
Bekas pengurus mereka yang kini berkhidmat di West Ham United, David Moyes mengatakan beliau kini mempertimbang kemungkinan untuk membawa dua pemain dari mantan majikannya itu ke London Stadium musim hadapan.
Dua pemain tersebut yang dimaksudkan adalah Jesse Lingard dan juga tonggak pertahanan iaitu Phil Jones.
Menurut laman Independent, Moyes dikhabarkan merancang untuk membawa dua pemain tersebut sebagai sebahagian daripada perancangan pengurus tersebut seandainya beliau berjaya mengekalkan West Ham United di kancah Premier League musim hadapan.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, niat Moyes itu sepertinya selari dengan hasrat Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford yang ingin melakukan beberapa penjualan pemain apabila jendela perpindahan dibuka.
Terdapat beberapa pemain yang dilihat berpotensi untuk disingkirkan daripada bermain dengan pasukan tersebut dan nama Jones serta Lingard tidak terkecuali daripada senarai tersebut.
Lingard dikatakan masih mahu untuk kekal bersama-sama dengan Manchester United walaupun dijangka bakal dijual sementara Jones dilihat akan kekal memandangkan beliau baru saja melanjutkan kontraknya bersama-sama kelab tersebut untuk empat tahun lagi.
West Ham United pula, masih lagi dalam usaha untuk kekal dalam saingan Premier League musim ini. Kebelakangan ini mereka mencatatkan keputusan baik selepas membenam Chelsea serta memperoleh keputusan seri menentang Newcastle United.
Mereka kini berada ditangga ke-16 liga dengan mengutip 31 mata dan akan bertemu Burnley selepas ini.