Isu Tunggakan Gaji: Terima Kasih Melaka United & Syabas Para Pemain Berani Tampil

Melaka United selesai tunggakan gaji 2021

Melaka United telah menyelesaikan tunggakan tiga bulan gaji para pemain musim lalu dan ini disambut dengan ucapan penghargaan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), sebentar tadi.

Menurut laman sosial rasmi Melaka United, segala tunggakan gaji musim 2021 telah diselesaikan oleh pemilik Melaka United, KenTeam Sdn Bhd yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Wira Justin Lim.

Memetik kenyataan yang dimuat naik tersebut, “Dengan sukacita dimaklumkan bahawa selepas penstrukturan kewangan dan pentadbiran dilaksanakan oleh pihak pengurusan Melaka United, Kelab Bola Sepak Melaka United hari ini telah melunaskan keseluruhan gaji para pemain dan pegawai pasukan Liga Super musim 2021.”

“Dengan ini, perancangan pasukan bagi musim 2022 berada di landasan yang tepat,” tambah kenyataan itu.

“Pihak pengurusan Melaka United ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pemilik Kelab Bola Sepak Melaka United, KenTeam Sdn Bhd yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wira Justin Lim kerana telah memikul segala tanggungjawab Kelab Bola Sepak Melaka United sejak tahun 2021,” titipnya lanjut.

Isu tunggakan gaji Melaka United menjadi tumpuan apabila bekas bek tengah, Khairul Helmi Johari maklumkan kepada pihak media tentang tunggakan gaji musim lalu yang masih belum dijelaskan oleh pihak pengurusan.

Respon segera pihak pengurusan Melaka United dalam menyelesaikan isu ini mendapat maklum balas baik PFAM yang turut memuat naik kenyataan penghargaan kepada mereka sambil mengucapkan syabas kepada para pemain yang telah berani untuk tampil ke depan bagi memaklumkan tentang tunggakan gaji mereka.

Ujar PFAM di laman sosial mereka, “PFAM ingin mengucapkan syabas buat para pemain yang berani tampil untuk membuat laporan dan juga mengucapkan terima kasih ke atas pengurusan MUFC yang diterajui oleh pemiliknya, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat dan KenTeam [Sdn Bhd] yang segera menyelesaikan isu ini.”

Turut merakamkan ucapan terima kasih adalah Zainal Abidin Hassan. Ucapnya, “Biarpun Melaka United FC dilanda dengan isu tunggakan gaji musim lalu, saya dan pasukan ketika itu tetap menaruh kepercayaan kepada kelab dengan terus memberikan yang terbaik sepanjang saingan Liga Super dan Piala Malaysia.”

“Bebanan tunggakan yang ditanggung bukanlah sepenuhnya terletak di bahu Ketua Pegawai Eksekutif tetapi beliau tetap menjelaskannya dengan penuh rasa tanggungjawab,” titip Zainal Abidin Hassan yang masa depannya tampak masih belum dipastikan lagi – sama ada akan terus bertugas sebagai ketua jurulatih.

Tidak ketinggalan, Khairul Helmi turut berterima kasih sambil mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan.

Leave a Reply