Hamidin Tidak Tergugat, Ahli Gabungan Tenang Beri ‘Undi Percaya’ Ketepikan Netizen

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin boleh menarik nafas lega apabila kedudukan beliau masih tampak kukuh walaupun mendapat banyak desakan daripada netizen baru-baru ini yang meminta beliau supaya meninggalkan kerusi nombor satu organisasi tersebut.

Kedudukan beliau tampak mengukuh selepas beberapa daripada ahli gabungan menyuarakan suara penuh ataupun memberikan ‘undi percaya’ terhadap kepimpinan Presiden FAM tersebut untuk kekal menerajui badan berkenaan walaupun sudah memberikan keputusan yang negatif mengenai aksi skuad negara di saingan Piala AFF 2020 tahun lalu.

Zamri Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis dan Datuk Abdul Rashid Ismail antara yang memberi pendapat supaya tidak perlu menggesa Hamidin daripada meletak jawatan dan tidak seharusnya membuat desakan tersebut.

Jelas Zamri mengenai desakan tersebut, meskipun ada yang beranggapan keputusan bedah siasat yang sedang berlangsung ketika ini perlu diambil perhatian oleh Presiden FAM untuk meletak jawatan secara terhormat, pada pendapat beliau ini merupakan sesuatu yang dianggap tidak wajar.

Tambah beliau  segala apa yang terjadi kepada aksi lemau Harimau Malaya tahun lalu, Zamri melihat tiada sebab mengapa Tan Cheng Hoe dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ setelah jurulatih tersebut meletak jawatan setelah sekembalinya skuad kebangsaan ke Malaysia dari saingan Piala AFF.

“Buat masa ini tidak seharusnya timbul soal ini (letak jawatan), ini kerana tanggungjawab bukan dibahunya (presiden) seorang.

“Pada pandangan saya, semua pihak perlu menilai Hamidin berdasarkan fakta yang mana sepanjang kepimpinannya, bola sepak negara berada di landasan yang baik dan sebagai contoh skuad Harimau Malaya merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan sepanjang 2019.

“Bukan ingin jadikan alasan tetapi sememangnya skuad kebangsaan tidak ada satu pun perlawanan pada 2020 dan 2021 berikutan kekangan pandemik, kemungkinan ini sedikit sebanyak menjejaskan persiapan.

“Bagi saya tidak wujud istilah di kambing hitamkan malah, Cheng Hoe sendiri mengakui itu adalah keputusannya sendiri. Jadi sekarang kita perlu maju ke depan dan tunggu siapa jurulatih baharu itu. Saya percaya yang dipilih ini adalah yang terbaik buat negara kita,” kata Zamri KEPADA Berita Harian.

Pada masa ini, Zamri dan Rashid menjadi wakil ahli gabungan ketiga dan keempat yang telah memberi sokongan penuh terhadap Hamidin selepas Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Shaari Mat Hussain turut menganggap Hamidin selaku seorang pemimpin yang cekap dan komited dengan kerja.

Jelas Abdul Rashid kepada Berita Harian jika dinilai dari sudut bakat muda negara pula, ketika ini skuad tersebut berada pada landasan yang tepat untuk meneruskan perjuangan legasi Harimau Malaya.

“Sepanjang berada di tampuk kepimpinan Hamidin, kita mencatatkan kemenangan dan pencapaian yang boleh dianggap baik antaranya memenangi Kejuaraan B-19 AFF 2018, tempat ketiga Kejuaraan B-16 AFF 2018, juara Kejuaraan B-15 AFF 2019, naib juara Kejuaraan B-18 AFF 2019 dan layak ke Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020.

“Terkini, kita juga layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 AFC 2022. Maka buat masa ini kita tidak seharusnya mudah menghukum sebaliknya memberi peluang untuk industri bola sepak negara bangkit semula dengan lebih baik terutama ketika berdepan cabaran pandemik.

“Untuk bangkit lebih baik perlukan kerjasama semua terutama pengurusan di peringkat negeri, di mana kita perlu lebih fokus kepada pembangunan bakat dari peringkat akar umbi dalam menghasilkan generasi produk Harimau Malaya yang baik untuk kejayaan jangka panjang,” katanya.

Leave a Reply