Takkan Melaka United Sanggup Buat Begitu Pada Khairul Helmi?

Khairul Helmi Melaka United 2021

Semalam bek tengah, Khairul Helmi Johari memuat naik status di akaun Facebooknya mengenai satu posting daripada laman sosial rasmi Melaka United yang dilihat telah ‘mengucapkan’ selamat tinggal buat dirinya.

Titipnya, “Nasib follow FB dengan IG, tidak tak tahu deh. Terima kasih semua dan sehingga kita berjumpa lagi.” Ia memberi gambaran pengurusan Melaka United seperti tidak berbincang langsung soal kontrak dengannya.

Khairul Helmi memang tidak asing dalam arena bola sepak tempatan apabila menjulang banyak kejuaraan bersama pasukan lamanya, Kedah Darul Aman FC. Beliau mula menyertai Melaka United pada permulaan musim lalu selepas dilepaskan Kedah. Namun, seiring usianya, kudratnya kurang digunakan Melaka United.

Khairul Helmi Status Facebook
Foto: FB Khairul Helmi

Dalam saingan Liga Super musim lalu, beliau diturunkan sebanyak lapan kali dengan 50 peratus dalam kesebelasan utama. Sebagai seorang pertahanan berusia 33 tahun, beliau masih mampu beraksi walaupun tidak semaksimum sebagaimana ketika beliau berkhidmat bersama Kedah selama kurang lebih 14 tahun.

Tidak dapat dipastikan sama ada itu hanyalah gurauan daripada beliau yang diketahui suka membuat lawak kasar tetapi berdasarkan balasan komennya di status itu, apa yang dikatakannya itu adalah cerita sebenar.

Ungkapnya kepada seorang rakannya yang meninggalkan komen, “Memang style macam tu kot bola sepak moden.” Nadanya kecewa, namun beliau menerima ketentuan takdir sudah tiada jodohnya dengan pasukan.

Jika melihat kepada gaya pengurusan baharu Melaka United dibawah Datuk Seri Justin Lim, ia seperti mustahil untuk berlaku. Berdasarkan kepada beberapa perkongsiannya dengan Astro Arena sebelum ini, dapat dilihat Justin seolah-olah memiliki karisma kepimpinan yang bagus dan mempunyai visi panjang untuk pasukan.

Justin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KenTeam Sdn Bhd yang telah mengambil alih saham Melaka United pada pertengahan tahun lalu dan telah membawa angin perubahan ke dalam skuad Hang Tuah itu.

Tidak dapat dipastikan apakah yang berlaku antara pengurusan Melaka United dan Khairul Helmi sehingga status tersebut di muat naik. Yang pasti, seseorang pemain tidak wajar untuk menerima layanan sebegitu rupa walaupun khidmatnya tidak lagi ditagih oleh pasukan dan perlu dimaklumkan lebih awal kepada mereka.

Melaka United sebelum itu dilihat mengumumkan 11 pemain yang telah sah meninggalkan pasukan untuk saingan musim depan. Selain Khairul Helmi, antara pemain lain yang turut tidak lagi bersama mereka adalah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, S. Kumaahran dan dua pemain import, Giovane Gomis dan Manuel Ott.