Bukan hanya pengurusan dan pemain Kedah yang melalui masalah tunggakan gaji, Melaka United juga nampaknya turut mengalaminya – dedah Razman Roslan.
Bercakap kepada The Star, kapten yang merupakan pemain pertahanan tengah Skuad Hang Tuah itu menjelaskan yang tunggakan gaji telah berlaku sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan pada 18 Mac yang lalu.
Dengan hari raya Aidilfitri yang kian menjelang, Razman Roslan terpaksa tampil ke depan menuntut pembayaran gaji dan amat berharap yang masalah ini akan segera diselesaikan oleh pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA).
“Mereka seharusnya menyelesaikan tunggakan ini segera kerana ketika ini bulan Ramadhan dan hari raya juga sudah hampir tiba,” tegas bekas pertahanan skuad kebangsaan itu sambil berkata yang isu tunggakan ini sudah berlanjutan agak lama.
“Masalah tunggakan gaji ini berlaku lama sejak sebelum pandemik ini melanda lagi. Saya amat berharap yang pihak pengurusan [MUSA] akan selesaikannya dengan kadar segera,” tambahnya lagi mengenai masalah tunggakan gaji pemain Melaka United.
Sebelum ini, Melaka United telah pun dipotong tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akibat masalah yang sama dan telah terperosok ke kedudukan ke-11 Liga Super 2020 – kini hanya meraih tiga mata daripada empat perlawanan.
Dalam pada itu, hasil pertemuan pengendali, Zainal Abidin Hassan bersama pihak pengurusan sebelum itu menyaksikan yang tunggakan gaji pada bulan Mac dikatakan akan diselesaikan pada minggu hadapan selain potongan gaji untuk bulan April.
Dengan umat Islam dijangkakan akan menyambut hari raya lebih kurang seminggu lagi, adakah MUSA akan menyelesaikan masalah tersebut sebelum hari raya?
Pada musim lalu, bekas kapten pasukan, Shukor Adan terpaksa mengambil tindakan meninggalkan pasukan ketika saingan suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas pasukan melalui masalah yang sama dan ianya dinoktahkan pada Januari yang lalu.
KREDIT FEATURED IMAGE: NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM