‘Kita Perlu 2-3 Bas Untuk Satu Perlawanan’ – Norma Baharu Bundesliga

FC Erzgebirge Aue SV Sandhausen Bundesliga norma baharu

Pengurus Fortuna Dusseldorf, Uwe Rosler berkata yang segalanya telah berubah dalam bola sepak, hari demi hari, sejak dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Ia sangatlah, dan amat sukar. Ia satu yang tidak normal,” tegas Uwe Rosler mengenai norma baharu Bundesliga yang dilaluinya ketika menyaksikan skuad kendaliannya terikat tanpa jaringan menentang pasukan tercorot liga, SC Paderborn.

Sepak mula Bundesliga telah berlangsung semalam dengan beberapa perlawanan telah berlangsung dengan tarikan utama adalah pertembungan antara Borussia Dortmund yang menang selesa 4-0 ke atas seteru setempat, Schalke 04.

“Setiap tiga atau empat hari, kita [pengurusan] akan menerima 30 ke 40 muka surat laporan dan perkembangan baharu virus tersebut. Setiap hari segalanya berubah,” jelas Uwe Rosler mengenai rutinnya sebagai pengurus pasukan pada ketika ini.

“Kita dibenarkan menaiki pesawat ketika ini, tetapi kita memerlukan pesawat yang ada 100 tempat duduk. Dan apabila kita menaiki bas pula, kita memerlukan sekurang-kurangnya dua bas, ataupun mungkin tiga bas,” tambahnya lagi mengenainya.

“Sekatan di dalam bilik persalinan juga sangat gila. Saya perlu menjarakan diri daripada setiap pemain dan para pemain pula perlu ditempatkan dalam tiga ruang persalinan.

“Satu-satunya perkara yang normal pada saat ini, menurut saya adalah apabila kita memasuki padang, kita akan melupakan segala masalah ini dan hanya menikmati bola sepak,” ujar Uwe Rosler lagi yang dipetik berkata kepada Daily Star, semalam.

Dalam saingan Bundesliga semalam dapat dilihat beberapa aspek baharu yang telah ditonjolkan antaranya prosedur di tempat duduk pemain simpanan dan kaedah meraikan jaringan gol selain penyokong tidak dibenarkan untuk berada di stadium.

Pemain yang berada di bangku simpanan perlu menjarakan diri antara satu sama lain selain memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga dan juga norma baharu yang telah ditetapkan kerajaan bagi membolehkan Bundesliga kembali bersambung.

Selain itu, dapat juga dilihat kaedah para pemain dan pengurus untuk bertegur sapa atau ‘bersalam’ iaitu dengan menggunakan siku serta ‘budak milo’ yang dibekalkan kain pengelap yang merupakan pembasmi kuman dan juga sarung tangan.

KREDIT FEATURED IMAGE: ROBERT MICHAEL/ AP

Baca lagi artikel lain mengenai Bundesliga:

Leave a Reply