Shukor Adan Beri Melaka United Tiga Hari Selesaikan Isu Gaji Tertunggak

MFL

Bekas kapten Melaka United, Shukor Adan menerusi video yang dimuat naik oleh wartawan Astro Arena, Akbar Sahari di laman Youtube peribadinya, memaklumkan masih belum menerima tunggakan gaji musim 2019 seperti yang telah dijanjikan.

Memberikan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) tiga hari (hingga Jumaat), Shukor Adan dipetik berkata yang pihak persatuan perlu bertanggungjawab menyelesaikan tunggakkan gaji mereka.

Sekitar September lalu, telah tersebar mengenai tunggakan gaji pemain-pemain Melaka United sehingga memaksa Shukor Adan meninggalkan pasukan ketika mereka bersaing di suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Pahang – mereka tewas 0-3.

Bekas kapten Harimau Malaya itu turut telah bersuara demi rakan-rakan lain dengan menjelaskan di laman Facebooknya selepas itu yang gajinya sudah mencecah lima bulan tunggakkan, ketika itu.

Dengan musim 2020 sudah mula menjengah untuk membuka tirai tidak lama lagi, masalah gaji itu masih belum diselesaikan oleh pihak pengurusan pasukan walaupun dilihat sedang rancak berbelanja dan menandatangani pemain-pemain baharu.

“Tunggu lagi dua, tiga hari. Untuk pasukan Melaka [United], diharap apa yang dijanjikan akan dikotakan. Saya menunggu lagi dua, tiga hari ini. Saya juga sudah hantar surat dan kita harap akan ada tindakan susulan daripada pihak pengurusan pasukan.

“Janganlah diabaikan kebajikan pemain-pemain yang telah digugurkan. Bagi saya, coach Zainal Abidin [Hassan] juga harus bertanggungjawab ke atas pemain-pemain yang digugurkan ini. Diharapkan kebajikan kami, semua adil dan saksama,” ujarnya.

Dalam kenyataannya tersebut, Shukor Adan juga tidak mahu terlalu membesarkannya kerana risau yang pihak pengurusan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat tetapi mengesahkan ada menerima surat daripada pihak MUSA serta masih menanti.

“Bagi saya, kita telah ikut saluran yang betul. Diharap pengurusan baharu Melaka United mengotakan janji,” tuturnya menutup bicara.

Pada awal Disember lalu, Presiden MUSA, YB Damian Yeo Shen Li telah memaklumkan yang hutang musim lalu masih berbaki RM8 juta daripada RM11 juta ketika beliau mengambil alih kerusi itu.

Beliau dilihat turut mengakui masih ada dua bulan gaji yang perlu diselesaikan mereka dan baru-baru ini Damian Yeo dilihat telah melancarkan crowdfunding untuk menyelesaikan hutang lama.

Ianya seperti yang dijelaskan Shukor Adan yang gajinya masih tertunggak dua bulan dan mungkin sudah tiada pilihan lain, Presiden MUSA itu kini terpaksa memilih cara tersebut pula.

Leave a Reply