Legenda Arsenal, Ian Wright berpendapat kelab tersebut perlu melakukan perubahan drastik terhadap pemilihan pemain susulan aksi kurang bertenaga ditampilkan The Gunners sehingga menyebabkan mereka ketika ini menghuni tangga ke-15 kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Susulan dengan prestasi hambar tersebut, Wright juga meluahkan rasa kekecewaannya melihat aksi yang dipamerkan pemain berpengalaman seperti Granit Xhaka, Alexandre Lacazette dan Willian.
Beliau juga turut merasakan ramai pemain berpengalaman kelab London itu tidak berjaya menggalas tanggungjawab yang telah ditetapkan dengan baik.
Sehubungan dengan itu, Wright yang berjaya meledakkan 104 jaringan sepanjang bersama Arsenal dalam saingan EPL melihat Arteta perlu membuat perubahan dalam usaha mengubah kembali nasib pasukan dengan memberikan kepercayaan kepada pemain muda.
”Dia [Mikel Arteta] telah meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Xhaka,” ujar Wright menurut laporan Goal.
‘”Saya merasakan dia telah melakukan perkara yang sama terhadap Willian. Begitu juga dengan Lacazette.”
”Mereka ini merupakan pemain-pemain yang seharusnya dipersalahkan pada ketika ini.”
”Cuba turunkan Eddie Nketiah, Emile Smith-Rowe yang kembali daripada pinjaman dan melakukan tugasan dengan cukup baik ketika bersama Huddersfield pada musim lalu.”
”Begitu juga dengan Joe Willock, Ainsley Maitland-Niles.”
”Anda perlu untuk melakukan sesuatu yang berbeza kerana sekiranya diteruskan dengan cara sebegini dan dia terus meletakkan kepercayaan terhadap pemain-pemain tersebut dan mereka tidak menyumbang dengan baik, saya tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.”
”Ada waktunya anda memerlukan pemain berpengalaman tetapi seperti situasi sekarang. Mereka begitu mengecewakan,” tambah Ian Wright lagi.
Kredit featured image: David Price/Arsenal FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Arsenal:
Jamie Carragher: Mesut Ozil Bukan Jawapan Kepada Masalah Arsenal
Guardiola: Arteta Pengurus Terbaik, Tiada Yang Lebih Baik Untuk Bimbing Arsenal