Ketua pasukan Tottenham Hotspur, Hugo Lloris mengakui bahawa kesemua kelab perlu melakukan sahaja bagi memastikan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 dapat diselesaikan dengan selamat dan adil.
Lloris yang sudah beraksi bersama Tottenham sejak musim 2012/13 menganggap amat kejam buat Liverpool sekiranya gelaran yang semakin hampir untuk digenggam terpaksa dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19 di England dan tidak terkecuali juga turut melanda seluruh dunia.
Seperti sedia maklum, Liverpool yang berkelebihan 25 mata di hadapan pesaing utama, Manchester City, hanya memerlukan dua kemenangan sahaja lagi untuk menamatkan penantian panjang bagi menjulang trofi liga paling popular di dunia itu.
Lloris melihat perkara ini perlu diselesaikan dengan langkah terbaik dan berharap kempen EPL yang tertangguh dapat kembali bersambung.
”Kita berada pada situasi di mana semua orang mahu untuk menamatkan saingan liga dan melihat keputusan akhir di atas padang.”
”Ia amat mengerikan jika semuanya berakhir seperti ini dengan sembilan hari sebelum saingan Liga Perdana Inggeris tamat. Ia juga amat kejam buat Liverpool dengan kelebihan mata yang mereka miliki”
”Mereka sudah sangat hampir untuk menjadi juara,” ujar Lloris menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
”Seperti semua orang, akan ada rasa sesuatu yang masih belum selesai. Sebagai tambahan, kita kini berada pada episod yang menarik, situasi yang paling indah dalam musim ini. Tiada siapa yang mahu ianya berakhir seperti ini.
Setakat hari ini, saingan Belgian Pro League dan Ligue 1 telah dibatalkan dengan Club Brugge serta Paris Saint-Germain ditabalkan sebagai juara manakala Liga Eredivisie pula diisytiharkan batal tanpa pemenang.