Hector Bidoglio Gemar Formasi 4-3-3, Adakah JDT Akan Bakul Sampahkan Formula Bek Bertiga?

Hector Bidoglio JDT 2022 formasi baru

Adakah perubahan formasi daripada 3-4-3 atau 3-5-2 kepada 4-3-3 dalam tiga perlawanan tanpa Benjamin Mora adalah persediaan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menerima pengendali baharu, Hector Bidoglio?

Sejak ketiadaan Mora ketika JDT menang tipis 1-0 ke atas Penang FC dalam saingan Liga Super 2022, skuad Harimau Selatan berubah wajah dari segi formasi dan juga sedikit rombakan pemain. Ia menimbulkan sedikit persoalan ketika itu, namun selepas JDT mengumumkan kehadiran Bidoglio, semakin jelas mengapa ia berlaku.

Mungkin ia persediaan mereka sebelum kehadirannya untuk mengendalikan pasukan dan prestasi baik dalam formasi tersebut dipersembahkan di depan pengendali berusia 54 tahun itu ketika berdepan Sarawak United.

Sebelum itu, Benjamin Mora telah disahkan meletakkan jawatannya selaku pengendali JDT pada 27 Julai lalu.

Bidoglio anak murid Marcelo Bielsa, bekas pengendali Leeds

Menurut Johor Southern Tigers ketika mengumumkan ketibaannya, mereka mengatakan yang Bidoglio adalah anak murid Bielsa ketika pengendali ternama itu menjadi jurulatih skuad kebangsaan Chile pada tahun 2009.

“Pengendali berusia 54 tahun ini pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis. Beliau juga telah berguru dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.”

Bielsa mencipta reputasi yang baik bersama Leeds apabila telah membawa kelab tersebut kembali ke saingan tertinggi bola sepak Inggeris, English Premier League selepas 16 tahun. Beliau juga digelar bapa taktikal moden.

Bielsa terkenal dengan formasi 4-1-4-1 ataupun formasi 3-3-1-3 yang telah digarapnya dengan elemen moden. Dibawah kendaliannya, Leeds dilihat bermain gaya bola sepak berani dan ‘high tempo pressing’. Adakah bila bapa borek, anaknya rintik? Segalanya akan terjawab apabila Bidoglio mula mengendalikan JDT selepas ini.

Menurut laman Transfermarkt, pengendali kelahiran Venezuela itu menggemari formasi 4-3-3 menyerang.

JDT telah bersedia lebih awal dengan formasi bek berempat

Ketika mengatasi Penang di Stadium Bandaraya pada 20 Julai yang lalu, semua bukan sahaja hairan dengan ketiadaan Mora malah pendekatan taktikal 4-3-3 yang digunakan, berbeza dengan apa yang telah digunakan sejak awal musim yang lalu yang berasaskan formasi bek bertiga. Ia diteruskan dalam dua aksi selepas itu.

JDT juga dalam tiga perlawanan selepas ketiadaan Mora dilihat memberi peluang kepada beberapa pemain yang sukar menembusi skuad utama kembali seperti Hazwan Bakri, S. Kunanlan dan kini Adam Nor Azlin.

Kesebelasan utama JDT Sabah Liga Super 2022
Kesebelasan utama JDT menentang Sabah di bawah kendalian Benjamin Mora
Kesebelasan utama JDT Penang Liga Super 2022
Kesebelasan utama JDT menentang Penang tanpa Benjamin Mora

Malah Hazwan Bakri telah berjaya meledak dua gol dan Syahmi Safari juga menyumbang satu gol setakat ini.

Adakah ini persediaan mereka sebelum Bidoglio mengambil alih pasukan secara total? Ada kemungkinannya.

Skuad Harimau Selatan tidak asing dengan formasi bek berempat kerana pada musim sebelumnya, mereka memang menggunakan pendekatan tersebut. Cuma pada awal musim ini, JDT dilihat telah mengubahnya dan ia tampak tiada masalah untuk para pemain menyesuaikan diri apabila masih kekal dengan prestasi terbaik.

‘Domino effect’ selepas ketiadaan Mora sebagai pengendali

Tiga kemenangan walaupun membuat rombakan pemain dengan perubahan formasi menandakan para pemain berjaya beradaptasi dengan baik. Ini kerana mereka sudah biasa bermain dengan taktikal tersebut. Mereka menang 1-0 ke atas Penang (Liga Super), 2-1 ke atas Melaka United (Piala FA) dan 4-0 ke atas Sarawak United.

Setiap pengendali ada pendekatan formasinya yang tersendiri dan ini tidak terkecuali dengan Bidoglio juga.

‘Domino Effect’ Selepas Pemergian Benjamin Mora, Apa Yang Boleh Berlaku Kepada JDT?

Pembantu jurulatih, Jorge Alvarez ketika sidang media selepas perlawanan menentang Penang FC telah pun menjelaskan, walau apa pun cabaran yang dilalui, para pemain tahu tanggungjawab mereka kepada pasukan.

“Semua orang yang berkhidmat untuk JDT tahu apa yang harus mereka lakukan. Pemain tahu apa yang harus mereka lakukan dan mereka lakukannya dengan sangat baik. Kami ikut kelab. Kami ikut bos [TMJ] kami. Ia bukan soal cabaran tetapi adalah tanggungjawab mengenai apa yang patut dilakukan.”

Ia hanyalah kesan sementara selepas Mora secara mengejut meninggalkan pasukan. Pasukan akan kembali stabil selepas mereka arif dengan permintaan Bidoglio selepas ini. Secara asasnya mereka sudah mula cuba menyesuaikan diri untuk kembali kepada formasi bek berempat, berbeza dengan pendekatan terkini Mora.

Begitupun, tidak mustahil juga mereka akan bertukar-tukar formasi dan pemain mengikut kesesuaian aksi.

Apa yang sedikit menggusarkan adalah jika kesan ini berlarutan sehingga ke aksi pusingan 16 terbaik AFC Champions League (ACL) 2022 ketika JDT berkunjung ke Jepun berdepan Urawa Reds. Namun, barisan kejurulatihan JDT sudah tentu bersedia dengan perancangan rapi sebelum ke sana pada 19 Ogos depan.

Yang pasti, Mora tidak akan menunggu di sana selepas dikhabarkan membuat ‘scouting’ ketika kehilangannya!

Selamat datang Bidoglio ke keluarga JDT dan juga arena bola sepak Malaysia. Selamat menimba pengalaman!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN