Safawi Rasid kini sudah berada di bumi Portugal, namun secara tiba-tiba beliau telah memuat naik ciapan ‘panas’ terhadap pihak media di Malaysia.
Dalam ciapan di Twitternya semalam, penyerang berusia 23 tahun itu dilihat memberikan peringatan kepada pihak media untuk memahami kariernya dan tidak mahu mendengar lagi kisah-kisah peribadi tentang hidupnya. Apa yang berlaku?
Tidak lama selepas itu, beliau memuat naik satu lagi ciapan dengan kenyataan, “Interview pun tak! Sedap-sedap buat story. Semoga Allah balas apa yang korang buat.” Ia jelas menunjukkan yang Safawi Rasid ada terkesan dengan mana-mana berita.
Adakah tentang berita mengenai Syifa Melvin menangis melihatnya berangkat ke Portugal? Ia tidak dapat dipastikan sepenuhnya kerana apa yang dimahukannya ketika ini adalah agar pihak media lebih fokus tentang perkembangan kariernya di sana.
Mungkin ada benarnya. Jika media masih memainkan berita tentang peribadinya, mungkin ia boleh menganggu fokusnya yang kini menyertai kelab yang bersaing di Primeira Liga, Portimonense SC. Musim baharu liga utama Portugal itu telah bermula.
Apa yang dilaluinya di Portugal kini perlu menjadi fokus utama berbanding kisah-kisah di Malaysia yang mungkin perlu kurang dijadikan fokus oleh pihak media.
Dalam perkembangan lain, Safawi Rasid yang tiba di Portugal dilihat telah menjalani saringan COVID-19 dengan memakai jersi nombor 9 kelab tersebut. Adakah penyerang skuad kebangsaan itu bakal menyarung jersi nombor 9 Portimonense SC?
Dalam posting di Instagram pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tengku Mahkota Johor (TMJ) dilihat memuat naik gambar Safawi Rasid sedang menjalani saringan COVID-19 dengan memakai jersi itu. Begitupun, difahamkan jersi tersebut sudah ada pemilik.
Pemain yang dipinjam daripada kelab J-League, Urawa Red, Fabricio dikatakan telah didaftarkan untuk jersi tersebut. Mungkin Safawi Rasid bakal menyarung nombor jersi sebagaimana ketika bersama JDT sebelum ini iaitu 29 – yang belum ada pemilik.
Selepas tiga perlawanan, Portimonense SC ketika ini berada di kedudukan ke-16 liga dengan hanya satu mata dan Safawi Rasid baru sahaja terlepas aksi menentang kelab gergasi Portugal, Sporting CP yang menyaksikan mereka tewas 0-2, dua hari lalu.
KREDIT FEATURED IMAGE: JST