Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam telah menjelaskan bahawa badan induk sukan ini tidak berkuasa memberi sebarang lampu hijau kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk memulakan rundingannya dengan bekas pemain Pahang, Mohamadou Sumareh.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam bagaimanapun tidak menafikan bahawa Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon ada menghubunginya untuk bertanyakan status pemain naturalisasi negara itu.
“Benar Dr. Johan ada menghubungi saya tetapi beliau sekadar bertanyakan status Sumareh dengan Pahang FA.”
“Saya memberi keterangan kepadanya berdasarkan status kes, yang mana mengikut pemahaman ketika itu Sumareh sudah membatalkan kontraknya secara sebelah pihak dengan Pahang FA menggunakan klausa yang tertentu yang terkandung di dalam kontraknya, ” katanya.
Stuart menjelaskan, ini kerana FAM ialah badan induk sukan bola sepak yang tidak mempunyai hak memberi sebarang kebenaran yang dimaksudkan.
“Sumareh bukan dimiliki FAM yang mana segala maklumat peribadi, terperinci atau kebenaran hanya membabitkan pemain itu sendiri dan pasukannya, ” tambah Stuart Ramalingam lagi.
Sebelum ini, sebuah media arus perdana secara atas talian melaporkan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon yang berkata pihaknya sudah diberi ‘lampu hijau’ oleh FAM untuk memulakan rundingan bersama Sumareh.
Dalam laporan itu, Dr Johan mempertahankan langkah yang diambil FAS dengan mengatakan pihaknya tidak melanggar sebarang peraturan.
Kredit featured image: FAM
Baca artikel lain dari kami mengenai Mohamadou Sumareh: