Sumareh: Saya Rasa Tengku Muda Tidak Dimaklumkan

tengku muda sumareh pahang

Bekas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh akhirnya membuka mulut, menyalahkan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) kerana mengkhianati kontrak.

Menurutnya lagi, kemungkinan besar Presiden, Tengku Muda Pahang tidak mengetahui langsung mengenainya dan atas sebab itu tindakan ke atasnya mahu diambil. Menurut FreeMalaysiaToday, kes ini mahu dibawa ke AFC dan FIFA.

Pasti Tengku Muda tidak tahu menahu

Memetik kenyataan Sumareh di New Straits Times, “Saya berharap akan ada seseorang daripada Pahang FA akan bercakap benar dan memaklumkan kepada Tengku Muda. Saya sangat pasti, Tengku tidak tahu situasi yang saya lalui ketika ini.”

“Saya rasa Tengku tidak tahu mengenai surat-surat saya [kepada Pahang]. Tidak eloklah untuk saya terus berjumpa dengan ‘big boss’ [Tengku Muda] kerana ada tatacara yang perlu diikuti. Bila saya ke pejabat, masalah saya tidak dilayan,” tambahnya.

Begitupun, jika Pahang mahu mengheret isu ini lebih jauh sehingga ke FIFA, Sumareh bersedia untuk berdepan kerana menurutnya, segala bukti ada di tangannya. Katanya, “Saya bersedia mempertahankan diri jika kes ini dibawa ke FIFA.”

Pemain naturalisasi pertama negara itu juga menegaskan yang beliau berharap akan ada wakil daripada pihak PFA untuk tampil ke depan, mengatakan beliau berbohong.

Sudah tiga tahun berlarutan

Sumareh disahkan menyertai kelab yang bersaing di Thai League 1, Police Tero FC, dua hari lalu ketika kehilangannya daripada Pahang menjadi tular di media.

Sumareh berkata lagi, “Sebenarnya, kewajipan kontrak tidak dipenuhi selama tiga tahun. Terlalu lama, tiga tahun. Saya telah mengirim surat, e-mel, tetapi tidak ada satu pun balasan atau jemputan untuk duduk membincangkannya.”

Pemain berusia 25 tahun itu juga memaklumkan telah menghantar sendiri surat sama ada melalui pos ataupun secara serahan tangan ke pejabat. “Tiada siapa respon kepada saya, tiada siapa ajak duduk untuk berbincang,” tambahnya.

Beliau akhirnya memilih untuk bersuara kerana ketika ini terlalu banyak kecaman yang diterimanya daripada pelbagai sudut terutamanya daripada penyokong-penyokong yang menurutnya, sangat menyedihkannya apabila dibaca.

Penutup

Dek kerana apa yang didapatinya ketika ini – kerakyatan Malaysia dan bermain untuk skuad kebangsaan, adalah atas bantuan daripada Tengku Muda dan Pahang, Sumareh mendiamkan diri sebagai tanda hormat, tetapi kini ia semakin menjadi buruk.

Diharapkan segala kekusutan antara kedua-dua pihak akan diselesaikan dengan baik kerana Sumareh merupakan antara tonggak penting skuad Harimau Malaya yang beraksi baik di kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

KREDIT FEATURED IMAGE: PAHANG FA & THE STAR

Baca lagi artikel mengenai Mohamadou Sumareh:

Leave a Reply