RASMI: Mohamadou Sumareh Diumum Pemain Baharu Police Tero FC

Mohamadou Sumareh

Tonggak sayap skuad kebangsaan, Mohamadou Sumareh secara rasminya diumumkan sebagai pemain baharu buat kelab Thai League 1 (T1), Police Tero FC bagi menghadapi saingan 2020/21.

Pemergian Sumareh itu juga menyaksikan beliau mengikut jejak langkah seorang lagi pemain negara, Dominic Tan yang terlebih dahulu menyertai kelab yang berpengkalan di Bangkok tersebut.

Perkembangan terbaharu mengenai masa depan bekas pemain skuad Liga Super Pahang itu telah disahkan oleh laman facebook rasmi Police Tero FC, sebentar tadi.

Sumareh dikatakan telah bertindak mengaktifkan klausa 8.7 yang mengakibatkan kontrak beliau bersama Pahang telah terbatal selepas pasukan tersebut dikatakan gawal membayar gaji mengikut perjanjian ditetapkan kedua-dua pihak.

Pemain kelahiran Fajara, Gambia itu mula beraksi dalam kancah bola sepak tanah air pada musim 2013 apabila beliau menyertai PDRM dalam saingan Liga Premier.

Hubungannya bersama Dollah Salleh bertambah baik apabila beliau turut mengikut jejak langkah bekas pemain kebangsaan itu ke Perlis dan kemudiannya menikmati kemuncak prestasi bersama Pahang bermula musim 2017.

Bermastautin di Malaysia sejak berusia 13 tahun secara tidak langsung melayakkan Sumareh untuk menjadi pemain naturalisasi pertama negara dan selepas segala prosedur berjaya diselesaikan pada Februari 2018, beliau sudah tidak lagi bergelar pemain import.

Mohamadou Sumareh juga menjadi individu yang cukup penting dalam membantu skuad negara menewaskan Thailand apabila jaringannya berjaya mengecewakan skuad gajah putih itu dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain Sumareh dan Dominic Tan, seperti diketahui Norshahrul Idlan Talaha juga berada di Thailand selepas beliau memeterai kontrak bersama Bangkok Glass (BG) Pathum United pada Januari lalu.

Kredit featured image: Allsport Co./Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai pemain Malaysia beraksi di Thailand:

Leave a Reply