Manchester City Sahkan Mahrez, Laporte Positif COVID-19

Riyad Mahrez Aymeric Laporte Manchester City

Manchester City melaporkan pemain sayap, Riyad Mahrez dan pemain pertahanan, Aymeric Laporte telah disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut memaklumkan kedua-dua pemain berkenaan yang masing-masing berusia 29 dan 24 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda.

Dalam kenyataan media yang disiarkan menerusi laman web rasmi pasukan, kini pemain antarabangsa Algeria dan Perancis itu sedang menjalani kuaranti kendiri di rumah meraka selari dengan protokol yang telah ditetapkan oleh pihak EPL dan kerajaan United Kingdom (UK).

“Semua orang di kelab ini mendoakan Riyad dan Aymeric lekas sembuh supaya dapat kembali menjalani latihan dan musim baharu,” ujar City dalam kenyataan mereka.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu akan memulakan aksi liga pertama mereka berdepan Wolverhampton Wanderers pada 21 September ini di Stadium Molineux.

Ini bermakna City masih berpeluang untuk menurunkan Mahrez dan Laporte dalam perlawanan tersebut sekiranya kedua-dua mereka sembuh selesai menjalani kuarantin kendiri yang telah ditetapkan selama 10 hari.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Inggeris:

Leave a Reply