Mohamadou Sumareh Hilang, Unsur Luar Atau Masalah Dalaman?

Mohamadou Sumareh

Semalam, Stadium Astro telah melaporkan pemain sayap Pahang dan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh sudah hilang sejak sebulan lalu.

Ianya turut dikuatkan dengan pengesahan oleh pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh mengenai ketiadaan pemain itu dalam sesi latihan dan menyatakan akan cuba melihat situasi sebenar mengenai Sumareh dengan pihak pengurusan.

Sudah sebulan hilang

“Mengenai Sumareh, sebenarnya dia tidak lagi bersama pasukan sejak sebulan yang lalu, dia tidak muncul dalam sesi latihan,” jelas Dollah Salleh.

“Apa sebab di sebalik perkara yang berlaku, kami akan mendapatkan penjelaskan daripada pihak pengurusan,” tambahnya lagi yang sedang giat mempersiapkan pasukannya yang akan turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam nanti.

Ia mengundang satu persoalan. Adakah Sumareh sengaja tidak hadir ke sesi latihan atau ada faktor lain yang menyumbang kepada sikap ‘kurang bijak’ yang ditunjukkan oleh bintang utama skuad Harimau Malaya itu pada ketika ini.

Seperti yang semua sedia tahu, masalah gaji sentiasa melingkari pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia dan adakah kehilangan pemain berusia 25 tahun itu telah didorong kuat oleh faktor tunggakan gaji kepadanya?

Bukan JDT, tapi Selangor?

Sebelum ini, pada awal musim lalu, Sumareh dilihat bermain teka-teki mengenai masa depannya bersama Tok Gajah. Ianya jelas selepas penghijrahan rakan sepasukannya, Matthew Davies ke JDT, mengundang persoalan hala tujunya pula.

Sebagai bintang utama skuad negara, sudah tentu banyak pasukan yang mahukan tandatangannya dan antara pasukan yang lain turut mengintai peluang untuk mendapatkan khidmatnya musim hadapan selain JDT adalah Selangor.

Dalam posting di Insta Story Sumareh, beliau dilihat telah memuat naik satu persoalan, terima atau tidak, kepada ilustrasi dirinya yang memakai jersi Selangor.

Kontraknya bersama Pahang adalah sehingga penghujung musim. Seharusnya sebagai pemain profesional, beliau perlu meneruskan baki saingan musim ini. Begitupun, jika ia bersangkutan dengan masalah gaji, Pahang perlu dipersalahkan.

Penutup

Belum ada jawapan kepada kehilangannya kerana belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Sumareh sendiri. Adakah tindakannya berpunca daripada kelemahan pengurusan Pahang atau beliau sendiri yang ‘kurang bijak’ mahu berhijrah.

Apa pendapat pembaca mengenainya? Adakah ada unsur luar yang mempengaruhi pemain kelahiran Gambia itu atau masalah mungkin di pihak Pahang sendiri?

KREDIT FEATURED IMAGE: GOAL

Baca lagi artikel mengenai Mohamadou Sumareh:

Leave a Reply