Selepas Manchester City menyingkirkan Real Madrid dalam saingan peringkat 16 UEFA Champions League minggu lepas, gambar Pep Guardiola dan Zinedine Zidane yang kelihatan bersembang di tepi padang selepas perlawanan menjadi tular.
Gambar tersebut menjadi topik jenaka peminat bola sepak yang rata-ratanya ingin tahu apa yang apa yang disembangkan oleh kedua-dua pengurus tersebut.
Ada yang berkata Guardiola dan Zidane bersembang tentang cara untuk menumbuhkan rambut.
Ada juga yang berkata Zidane menjelaskan kepada Guardiola kenapa beliau ‘sengaja’ kalah.
Jenaka dari netizen ini mungkin kelakar. Tetapi ia bukanlah topik sembang Guardiola dan Zidane pada malam itu , menurut pendedahan yang dibuat oleh Guardiola sendiri kepada media dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.
Menurut Guardiola, kedua-dua mereka saling mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan masing-masing pada musim ini.
“Saya mengucapkannya tahniah kerana kejayaan menjuarai La Liga,” kata pengurus City itu. “Saya sentiasa berpendapat menang liga jauh lebih susah kerana ia menunjukkan pasukan anda konsisten selama 11 bulan.
“Kami juga bertanya khabar tentang keluarga masing-masing. Kemudian saya ucapkan selamat kepada beliau. Zidane merupakan salah satu idola saya semasa saya masih bermain.
“Saya pernah lawan beliau banyak kali dalam aksi skuad kebangsaan dan saya ‘terseksa’ banyak kali disebabkan kehebatannya.
“Zidane merupakan salah seorang pemain dan pengurus hebat dan layak dicontohi oleh mana-mana pengurus lain.”
Dalam perlawanan tersebut, Manchester City tiada masalah untuk menyingkirkan Real Madrid dari saingan UEFA Champions League menerusi kemenangan 2-1 (agregat 4-2) di Etihad Stadium pada awal pagi Sabtu lepas.
Dalam perlawanan tersebut, pertahanan Madrid Raphael Varane membuat dua kesilapan besar yang menghadiahkan dua gol kepada The Citizens.
Dengan kemenangan tersebut, The Citizens akan menentang Lyon pula dalam aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung awal pagi Ahad (16 Ogos) waktu Malaysia nanti.