UCL: Manchester City Manfaat Kesilapan Varane, Tumbang Real Madrid

Manchester City memanfaatkan dua kesilapan pertahanan Real Madrid Raphael Varane untuk menang dalam aksi pusingan 16 UEFA Champions League 2019/2020 awal pagi tadi.

Kemenangan 2-1 (4-2 secara agregat) awal pagi tadi memberikan pasukan Pep Guardiola  pencapaian terbaik dalam Champions League.

Anak buah Zinedine Zidane langsung tidak diberikan peluang untuk bernafas. Persembahan buruk Raphael Varane yang menghadiahkan dua gol City pula langsung tidak membantu keadaan. Eden Hazard pula langsung tidak memberikan impak besar. 

Dengan menewaskan juara 13 trofi Champions League sebegini rupa, ia pastinya akan memberikan City keyakinan untuk terus mara dan cuba meraih trofi Eropah pertama dalam sejarah kelab mereka.

Perkara yang paling menggembirakan Guardiola pastinya adalah cara pemain-pemainnya melaksanakan perancangan taktikal beliau. Phil Foden dikekalkan dalam kesebelasan utama, manakala David Silva dan Eric Garcia – yang enggan memperbaharui kontraknya – digantikan oleh Ilkay Gundogan dan Fernandinho.

Zidane pula  memberi kepercayaan kepada Eder Militao untuk menggantikan Sergi o Ramos yang digantung perlawanan.

Sebelum perlawanan Militao  memberi jaminan kepada penyokong Real Madrid  bahawa mereka boleh mempercayainya untuk memberikan persembahan berkualiti. Tetapi tak ada siapa yang tahu, Varane sebenarnya yang perlu menyakinkan penyokong.

Seawal minit ke-9, Thibaut Cortois  membuat hantaran kepada Varane yang dilihat tidak bersedia untuk menerimanya. Gabriel Jesus  kemudiannya berjaya merampas bola sebelum menghantar kepada Raheem Sterling, untuk gol ke-31 beliau pada musim ini.

Selepas gol tersebut,  Manchester City terus mengasak. Sterling dan Foden merupakan dua pemain yang Real Madrid dapati paling sukar untuk dikekang. Pelawat bernasib baik apabila beberapa serangan City tersasar dan berjaya diselamatkan oleh Casemiro.

Hazard dan Karim Benzema ada juga mengancam pertahanan tuan rumah. Dalam satu percubaan, Benzema berjaya melepasi kawalan Aymeric Laporte sebelum melepaskan rembatan yang ditepis keluar oleh Ederson.

Dalam percubaan kedua, Benzema berjaya menjaringkan gol hasil kesilapan bek kiri tuan rumah, Joao Cancelo dan hantaran lintang Rodrygo.

Susulan gol Benzema ini, perlawanan bertukar menjadi menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Tetapi City kembali di depan pada minit ke-68 apabila tandukan lemah Varane dipintas dan disudahkan oleh Gabriel Jesus.

Selepas tamat perlawanan, Varane tidak mengambil masa panjang untuk mengambil tanggungjawab penyebab kekalahan pasukannya di depan media Sepanyol dengan berkata:

“Saya nak tunjukkan muka saya untuk mengambil tanggungjawab atas kekalahan ini. Kami dah cukup bersedia, tapi kesilapan akan menghukum anda di peringkat ini. Saya tak boleh nak jelaskan bagaimana kesilapan itu berlaku. Tetapi ia boleh berlaku pada bila-bila masa. Ia malam sukar untuk saya.”

Manchester City akan bertemu Lyon dalam aksi suku akhir UEFA Champions League pada minggu depan. 

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Leave a Reply