Pengurus Napoli, Gennaro Gattuso memberikan nasihat cukup berguna kepada bekas rakan sepasukannya ketika di AC Milan yang kini secara rasminya bergelar pengurus Juventus iaitu Andrea Pirlo.
Pirlo yang tidak pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan sebelum ini telah dilantik sebagai pengurus baharu skuad The Old Lady itu bagi menggantikan Maurizio Sarri.
Sehubungan dengan pelantikan tersebut, ramai yang memberikan reaksi terhadap keputusan yang diambil Juventus itu. Sebagai contoh Alessandro Del Piero merasakan Pirlo mampu untuk menjadi lebih hebat berbanding pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane.
Selain itu, Gianfranco Zola mengakui beliau amat terkejut mendengar perkhabaran tersebut tetapi yakin Pirlo mampu untuk memperoleh kejayaan dengan adanya sokongan hebat dari pihak kelab.
Bagi Gattuso, beliau melihat status sebagai bekas pemain hebat masih tidak cukup untuk menjadikan tugasan seseorang pengurus itu menjadi mudah.
”Ya, dia [mindanya] akan berada dalam kekacauan pada ketika ini. Itulah pekerjaannya [sebagai pengurus],” ujar Gattuso menurut laporan Goal.
”Dia beruntung kerana memulakan karier pengurus di Juventus, tetapi pekerjaan ini memberikan isyarat jelas bahawa seseorang dengan karier bola sepak yang hebat masih tidak mencukupi [untuk berjaya sebagai pengurus].
”Anda perlu untuk belajar, bekerja keras dan anda tidak boleh mendapatkan banyak masa untuk tidur.”
Berbeza dengan Pirlo, Gattuso memulakan karier kejurulatihannya ketika membimbing FC Sion, Februari tahun 2013 dan kemudiannya bersama Palerma, OFI Crete dan Pisa sebelum membimbing skuad remaja AC Milan pada 2017.
Berikutan pemecatan Vincenzo Montella pada November 2017, Gattuso dilantik sebagai pengurus AC Milan dan jodoh bersama bekas kelabnya itu bertahan sehingga 28 Mei 2019 selepas skuad bimbingannya hanya kekurangan satu mata untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Selepas enam bulan, khidmat Gattuso ditagih Napoli yang memecat Carlo Ancelotti dan berjaya memenangi piala pertamanya bersama kelab Naples tersebut setelah menjuarai Coppa Italia 2020 susulan kemenangan 4-2 menerusi sepakan penalti menewaskan Juventus.
Kredit featured image: David R. Anchuelo/Real Madrid via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Andrea Pirlo: