Daripada Maestro Kepada Mister Pirlo, Ini 20 Fakta Mengenai Pengurus Baharu Juventus

Andrea Pirlo Juventus

Selepas dilantik sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) dan kemudian dinamakan sebagai pengurus baharu Juventus hanya dalam tempoh seminggu, kehidupan Andrea Pirlo sudah tentu tidak lagi sama seperti sebelum ini.

Entah apa yang sedang berlegar dalam fikiran pihak pengurusan kelab, menggantikan jurulatih berpengalaman seperti Mauruzio Sarri dengan seorang individu yang tidak pernah ada sebarang rekod prestasi sebagai jurulatih tentunya menimbulkan persoalan kepada banyak pihak.

Mungkin keputusan tersebut dipengaruhi oleh tren melantik bekas pemain untuk menjadi jurulatih ketika usia mereka masih muda seperti Pep Guardiola, Eddie Howe dan Zinedine Zidane yang berjaya mencipta kejayaan bersama pasukan masing-masing tanpa mempunyai pengalaman besar sebagai jurulatih.

Namun begitu, reputasi Pirlo sebagai pemain yang berpengaruh tidak perlu dipertikai lagi. Sama ada beliau mampu menjadi jurulatih yang baik atau pun tidak, segalanya akan terjawab bermula musim 2020/21 yang akan membuka tirainya tidak lama lagi.

Berikut adalah 20 fakta mengenai salah seorang pemain tengah terbaik dalam sejarah bola sepak moden ini.

Karier di peringkat kelab

1. Dilahirkan pada 19 Mei 1979 di Flero, Itali, Pirlo memulakan kariernya sebagai pemain tengah menyerang bersama Brescia.

2. Membuat penampilan pertamanya sebagai pemain profesional ketika berusia 16 tahun pada musim 1996/97 dan membantu Brescia menjuarai Serie B dan dipromosi ke Serie A.

3. Prestasi cemerlangnya menarik minat Inter untuk membelinya pada 1998, tetapi beliau bergelut untuk menembusi skuad utama yang dipenuhi dengan pemain bintang, lalu dipinjamkan ke Reggina dan bekas kelabnya, Brescia.

4. Gagal untuk menjadi pemain kesebelasan utama The Nerazzurri, Pirlo kemudian dijual kepada AC Milan pada 2001.

5. Di bawah kendalian Carlo Ancelotti, Pirlo telah diubah peranannya kepada perancang tengah dan menjadi pakar ‘set-piece’ antara yang terbaik di dunia.

6. Sepanjang sedekad bersama AC Milan, beliau menjuarai dua kejuaraan Serie A, Coppta Italia, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Kelab Dunia FIFA.

7. Pada 2011, Pirlo berpindah ke Juventus secara percuma dan membantu kelab tersebut yang telah kemarau kejuaraan sejak 2003 dengan menjuarai Serie A untuk empat musim berturut-turut.

8. Selepas dua dekad menabur bakti di negara kelahirannya, Pirlo mengambil keputusan untuk menyerai kelab Major League Soccer (MLS), New York City FC pada 2015.

9. Beliau mengumumkan persaraannya sebagai pemain pada 2017.

Karier antarabangsa

10. Pirlo mengetuai skuad Itali untuk menjuarai Kejohanan Eropah bawah 21 tahun (B-21) dan menerima anugerah sebagai pemain terbaik kejohanan selepas muncul sebagai penjaring terbanyak.

11. Beliau turut membantu Itali memanangi pingat gangsa pada kejohanan Olimpik 2004 di Athens.

12. Membuat debut di peringkat antarabangsa pada 2002 di bawah jurulatih Giovanni Trappatoni ketika menang 2-0 ke atas Azerbaijan dalam perlawanan kelayakan EURO 2004.

13. Di bawah Marcelo Lippi, Pirlo menjadi watak penting ketika Itali menjulang kejuaraan Piala Dunia 2006 di mana beliau di beliau dipilih sebagai pemain terbaik pada perlawanan akhir.

14. Beliau juga telah menerima anugerah Bola Gangsa sebagai pemain ketiga terbaik dan turut disenaraikan dalam kesebelasan utama terbaik dalam kejohanan tersebut.

15. Membantu Itali mara hingga ke perlawanan akhir EURO 2012 di mana mereka tewas 4-0 kepada Sepanyol.

16. Selepas mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa selepas Piala Dunia 2014, Pirlo menarik balik keputusannya itu untuk bermain di bawah kendalian jurulatih Antonio Conte.

17. Beliau membantu Itali layak ke kejohanan EURO 2016, tetapi tidak disenaraikan oleh Conte untuk pusingan akhir kejohanan tersebut.

18. Beliau menamatkan kariernya dengan mengumpul 116 penampilan untuk Itali menjadikannya pemain kelima dengan kaps terbanyak dalam sejarah di belakang Gianluigi Buffon (176), Fabio Cannavaro (136), Paolo Maldini (126) dab Daniele De Rossi (117).

Karier dalam bidang kejurulatihan

19. Pirlo dinamakan sebagai jurulatih skuad B-23 Juventus pada awal bulan ini.

20. Hanya selepas seminggu, beliau dilantik sebagai pengurus skuad utama dengan kontrak dua tahun berikutan pemecatan Sarri.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Andrea Pirlo dan Juventus:

Leave a Reply