Legenda Manchester United, Gary Neville mengakui suntikan dana amat diperlukan The Red Devils selepas kelab tersebut berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21.
Sehubungan dengan itu, Neville merasakan Ole Gunnar Solskjaer memerlukan bajet kira-kira £170 juta untuk memantapkan lagi barisan pemainnya dalam usaha bersaing hebat dalam kancah paling berprestij di Eropah itu.
Aksi turun naik yang dipamerkan sebelum ini disudahkan dengan cemerlang oleh Manchester United apabila menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di tangga ketiga selepas mengumpul 66 mata hasil 18 kemenangan, 12 keputusan seri dan lapan kekalahan.
Kehadiran Bruno Fernandes pada jendela perpindahan musim sejuk serta kehadiran semula Paul Pogba ketika aksi kembali bersambung nyata menjadi antara kunci kepada kebangkitan tersebut.
”Kali terakhir United menamatkan saingan di kelompok tiga pasukan teratas, mereka membelanjakan £170 juta ketika di bawah kendalian Jose Mourinho.”
”Jelas, pelaburan mereka itu tidak sebijak apa yang mereka telah lakukan pada musim ini,” ujar Neville menurut laporan Goal.
”Saya merasakan United perlu untuk melaburkan wang mereka lagi tetapi perlulah melakukannya dengan cara yang betul pada kali ini sehingga berjaya mendekati [jurang] Liverpool dan Manchester City. Skuad ini perlu untuk terus meningkat.”
”Pertamanya, mereka harus meningkatkan kualiti barisan kesebelasan utama, ini perkara yang paling utama.”
”Saya tidak bermaksud untuk memandang rendah skuad yang beraksi ketika menentang Leicester. Mereka merupakan pemain yang memiliki kemampuan dalam membentuk sebuah pasukan yang masih mampu bersaing walaupun perlu bermain 55,60 perlawanan dalam satu musim.”
”Ia adalah tentang untuk memastikan kelab mendapat pemain yang mahu bermain dengan kelab yang betul, mereka datang dengan alasan tepat,” tambah Neville lagi.
Kredit featured image: Michael Regan/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Gary Neville: