Gary Neville Dipercayai Telah ‘Berpindah’ Ke Papua New Guinea

gary neville papua new guinea epl liverpool

Gurauan bekas lagenda Manchester United, Gary Neville mengenai akan berhijrah ke Papua New Guinea jika Liverpool bergelar juara akhirnya memakan dirinya.

Liverpool akhirnya sah menjulang kejuaraan Premier League pada Jumaat dan kini semua pihak termasuk rakan pengulas, penyokong serta bekas pemain The Reds sedang memburunya. Ke mana Gary Neville telah menghilangkan diri?

Carragher usik Neville

Menerusi laman Twitternya, Gary Neville meninggalkan emotikon lambaian tangan seakan-akan menandakan yang beliau benar-benar akan berhijrah ke Papua New Guinea, sepertimana janjinya yang kerap kali diungkapkan sebelum ini.

Ketika ditanyakan kepada rakan pengulasnya di Sky Sport, Jamie Carragher, sama ada beliau ada mendengar khabar berita daripada Neville sejak kejayaan Liverpool, ini respon lagenda Liverpool itu, “Langsung tiada. Saya juga sedang mencarinya.”

“Langsung tidak dapat dikesan. Dia menghilangkan diri lagi. Pada permulaan musim yang lalu, dia pernah berkata yang Man United akan menang liga sebelum Liverpool berjaya lakukannya. Ramalan yang sangat hebat,” ujar Carragher mengenai Neville.

“Saya tidak rasa satu kejuaraan sudah cukup buat Jurgen Klopp dan skuad Liverpool ketika ini,” tambahnya lagi sambil menyatakan yang skuad yang dimiliki mereka kini akan melakukan sebagaimana Man City dan Man United pernah lakukan sebelum ini.

Sky Sport siap buat video

Menariknya, Sky Sport turut mengeluarkan sebuah video jenaka pendek mengenai situasi Gary Neville dan ke mana perginya pengulas itu selepas sahaja Liverpool menamatkan penantian 30 tahun mereka. Tajuk video adalah, ‘Where is Neville?’

Video tersebut bermula dengan rakaman flashback mengenai kenyataan Neville pada Disember 2018 yang berbunyi, “Jika Liverpool memenangi kejuaraan liga, saya mungkin terpaksa berpindah ke Papua New Guinea atau ke mana saja.”

Turut ‘membintangi’ video berdurasi satu minit itu adalah rakan-rakan pengulas lain di Sky Sport iaitu Jamie Carragher, Jamie Redknapp, Graeme Souness dan John Barnes yang dilihat dengan ghairahnya sedang mencari Neville di serata tempat.

Video jenaka tersebut diakhiri dengan babak seorang penumpang di lapangan terbang yang sedang memegang sekeping tiket ke Papua New Guinea iaitu Neville.

Apa lagi kenyataan Neville?

Selain kenyataan yang mungkin adalah gurauannya selaku pemain Man United kepada Liverpool, pemain yang merangkul lapan kejuaraan liga sepanjang kariernya itu turut berkata yang Liverpool adalah antara pasukan yang memiliki polisi yang teruk.

“Apa yang saya cuba sampaikan, Liverpool, City dan Tottenham, mereka memiliki polisi perpindahan pemain yang teruk dalam 25 ke 30 tahun ini. Jadi, United memiliki kelebihan saat ini,” ujar bekas kapten Man United pada musim 2005 hingga 2011.

Ketika ditanyakan adakah beliau risau akan peningkatan pesaing-pesaing Man United ketika ini, Neville menjelaskan yang beliau tidak pernah berasa risau dengan situasi tersebut kerana semuanya boleh diperbaiki oleh beberapa faktor dalam pengurusan.

“Ianya boleh dibaiki dengan membelanjakan sedikit wang untuk stadium, keputusan-keputusan yang tepat dari boardroom dan juga pemilihan yang bagus daripada bahagian pengambilan pemain,” tambahnya lagi mengenai perkara tersebut.

Penutup

Semakan ke laman Twitter Gary Neville masih belum ada kemaskini terkini selepas posting emotikon lambaian tangan itu. Selainnya, Rio Ferdinand turut dipetik berkata yang beliau mungkin terpaksa berehat sebentar daripada media sosial ketika ini.

Walaupun mereka semua pernah bersengketa di padang pada satu ketika dahulu, kini mereka merupakan rakan karib apabila melewati karier sebagai rakan pengulas. Apa yang boleh kita jangkakan, banter ini akan berterusan untuk beberapa ketika!

KREDIT FEATURED IMAGE: SKY SPORT

Baca lagi artikel mengenai Gary Neville dan Man United:

Leave a Reply