Pengendali utama Sri Pahang, Fandi Ahmad setakat ini jelas berpuas hati dengan prestasi dua pemain import baharu ditandatangani mereka iaitu Kuvondik Ruziev serta Rafael da Silva selepas mengharungi aksi Liga Super menentang Perak.
Pada perlawanan tersebut, Perak berjaya mencatat kemenangan berharga 1-0 selepas berhempas pulas pada aksi itu untuk melepasi benteng kebal pasukan pelawat.
Masa Penuh! 3 mata penuh buat Sri Pahang FC! Tahniah Sri Pahang! #SriPahang #WhereLegendsAreBorn #HakkaClo pic.twitter.com/oHA0aMQngF
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) July 30, 2023
Ruziev dan Rafael telah pun disenaraikan dalam kesebelasan utama pada aksi itu dan berjaya memberi impak tersendiri dalam usaha pasukan untuk memperkukuhkan jentera serangan musim ini.
Walaupun baru beberapa perlawanan diturunkan, persefahaman yang diberikan oleh dua pemain itu sangat tinggi dalam membentuk kombinasi permainan berkualiti bersama rakan sepasukan lain.
Maka tidak hairan jika Fandi memberi pujian penuh kepada dua pemain berkenaan sambil mengharapkan mereka dapat memberi sesuatu lebih baik buat Sri Pahang untuk aksi akan datang.
“Alhamdulillah, Ruziev bermain lebih baik dan banyak berkomunikasi bersama rakan sepasukan terutama kerja keras yang dipersembahkan sepanjang perlawanan.
“Saya harap Ruziev dapat mencetak gol kerana ia memiliki kemampuan itu berdasarkan komitmen dan permainannya.
“Bagi Silva pula, dia semakin menunjukkan peningkatan selepas dua perlawanan dan dalam usaha untuk membentuk persefahaman bersama Kpah Sherman.
“Gandingan Silva dan Sherman ketika berdepan Perak tidak begitu menjadi kerana pemain pertahanan lawan berjaya mengekang asakan,” kata pengendali tersebut menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, pengendali dari Singapura itu turut mengharapkan para pemainnya supaya tidak membuat kesilapan tidak sepatutnya dalam usaha mereka untuk mengekalkan prestasi terbaik dalam saingan Liga Super.
Statistik perlawanan semalam. 👏 #SriPahang #WhereLegendsAreBorn #HakkaClo pic.twitter.com/RR1qTeN6AJ
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) July 31, 2023
Malah, Fandi juga mengakui beliau sering memberi teguran kepada para pemain untuk mengekalkan konsistensi mereka pada hari perlawanan di atas padang supaya segalanya dapat berjalan lebih lancar.
“Mereka kena tegur selalu untuk mengelakkan daripada mengulangi kesilapan hingga memberi kesan terhadap keputusan perlawanan,” katanya lagi.
Setakat ini, Sri Pahang telah pun berada di tangga keempat Liga Super dengan mengumpul 37 mata untuk berkongsi bersama Kedah Darul Aman (Kedah) selepas mencatat 11 kemenangan daripada 18 perlawanan.