Hari demi hari, Perak FC yang kini merupakan hak milik penuh XOX Bhd nampaknya berusaha keras untuk memastikan kestabilan pasukan terutamanya melibatkan pengurusan dan tadbir urus.
Perkembangan ini pastinya memberi kelegaaan buat penyokong setia The Bos Gaurus untuk melihat pasukan kesayangan mereka keluar dari masalah kewangan yang membelenggu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Tetapi insan yang paling gembira sudah tentulah Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi selaku Pengerusi Perak FC sendiri.
Ahli Perniagaan kelahiran Batu Gajah, Perak ini mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang kewangan dan perbankan di mana beliau pernah dilantik selaku Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).
Sentimen anak Perak
Selaku Pengerusi Bukan Eksekutif XOX Bhd, sudah tentu keputusan untuk mengambil alih Perak FC ini juga mempunyai kaitan dengan sentimen dan pengalamannya sejak kecil menyaksikan zaman kegemilangan Perak satu masa dahulu yang kian pudar.
Tahukah anda bahawa Pengerusi Eksekutif XOX Berhad, Datuk Seri Azim Zabidi berasal daripada Batu Gajah, Perak.
Beliau selamatkan Perak FC atas dasar sebagai anak jati Perak. Moga Perak FC kembali bersinar di bawah XOX.
** Ada iras2 Dato' Jalaluddin Hassan kan? ☺️😎 Hensem pic.twitter.com/mLd6qr7HHY
— #JJCMPERAK #travelPERAK #infoSANTAI (@JJCMPERAK) April 30, 2022
“Jika kami tak beli, pasukan ini akan ‘hilang’,” ujar Abdul Azim ketika ditemubual oleh Semunya BOLA selepas sidang media yang berlangsung di Stadium Perak pada Sabtu.
“Jika tak silap saya Perak telah diberikan tempoh sehingga Ogos untuk selesaikan semua masalah dan tunggakan hutang. Jika tidak, lesen mereka akan ditarik dan kalau mahu mohon semula pun perlu bermula dengan Liga M3.
“Perak ini merupakan salah satu daripada empat kelab yang tertua di Malaysia, ditubuhkan pada 1921, bermaksud dah 101 tahun. Jadi takkan saya nak tengok ia hilang begitu sahaja dan tak bantu langsung.
“Jika tidak, sampai satu masa ia hanya sekadar terpahat dalam sejarah bola sepak Malaysia, ada sebuah pasukan bernama Perak satu masa dahulu. Daripada situlah sentimen Perak itu masuk.
“Kita boleh sahaja beli pasukan lain seperti Kuala Lumpur atau Penang kerana semua pasukan itu untuk dijual. Tapi Perak ini ada sentimen dalam jiwa saya.”
‘Buat duit’ dengan penyokong
Meskipun begitu, Abdul Azim mengakui keputusan untuk mengambil alih sesebuah pasukan tentunya tidak cukup hanya berlandaskan memori dan sentimen kenegerian semata-mata.
Beliau selaku ahli korporat melihat bola sepak tidak sepatutnya terus menjadi tempat untuk ‘belanja hangus’ seperti kebiasaan yang berlaku kepada kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) pada hari ini yang akhirnya menjurus kepada masalah kewangan.
Sebaliknya Abdul Azim melihat kelab bola sepak mempunyai potensi yang besar untuk membuat keuntungan sekiranya ia diuruskan mengikut model perniagaan yang betul,
“Memanglah kita ini orang Perak, minat kepada bola sepak Perak, tetapi ia tidak mencukupi,” tambahnya lagi.
“Tetapi ianya telah memberikan satu peluang untuk kita betul-betul kaji dan membuat perancangan, kertas cadangan dan kita telah lihat juga andaian bahawa Perak FC ini tidak akan membawa kepada keuntungan.
“Kalau ia tidak membawa kepada keuntungan pun tak mengapa kerana ia akan menjadi seperti apa yang disebutkan dalam istilah perniagaan sebagai loss leader [konsep semakin besar prospek penyokong, semakin tinggi peluang untuk menjual produk-produk berkaitan dengan margin keuntungan yang labih tinggi].
“Syarikat-syarikat yang berkaitan dengan pasukan seperti XOX dan sebagainya akan ‘buat duit’ daripada Perak FC ini. Umpamanya seperti penjualan kad sim XOX.
“Cuba awak fikir, jikalaulah dapat satu juta pelanggan baharu untuk XOX melalui Perak FC, secara puratanya kalau kita lihat dari segi industri jumlah tambah nilai adalah RM30 sebulan. Kalau dah satu juta pengguna, sudah RM30 juta hanya dalam sebulan. Setahun?
Pelan mudah alih terbaik untuk penyokong nombor satu!
Dapatkan di pengedar sah ONEXOX terdekat anda atau harini hingga 16 Julai 2022 di Stadium Perak.
⚪🟡⚫ pic.twitter.com/bGqyWqTssj
— yob4ever.com (@yob4e) July 15, 2022
“Sudah tentulah tidak semua yang akan pergi ke Perak FC, hanya sebahagian, tetapi jika kita ambil 10 peratus pun sudah RM3 juta sebulan.
Strategi serampang dua mata
Abdul Azim turut menyenaraikan penjualan barang dagangan [merchandise] akan menjadi strategi untuk pasukan mendapatkan keuntungan, apatah lagi apabila jenama pakaian sukan tersebut merupakan milik XOX sendiri iaitu Cheetah yang telah bertapak sekian lama dalam pasaran di negara ini,
Pada tahun lalu, XOX Bhd melalui anak syarikatnya XOX Ltd telah pun membeli 33.8 juta sahama milik Cheetah Holdings dengan nilai keseluruhan RM44.61.
Ramai yang PM, tanya ada lokasi fizikal tak yang jual jersi Perak FC.. Haaaa ini dia.. Kaunter Cheetah Apparel ada… Rasanya ada promisi harga.. Kalau nak tau, moh ke kaunter di bawah
⚪️🟡⚫️#XOXMalaysia #ONEXOX #RiseAsOne #PerakFC pic.twitter.com/m3EAm7mRGD
— Perak Football Club (@perakfcofficial) August 14, 2022
“Kemudian Cheetah [jenama pakaian sukan], ini pun di bawah naungan syarikat kami. Kami dah beli dan kami dah jenamakan semula. Dahulu orang kata Cheetah ini jenama ‘pasar malam’.
“Jadi melalui Perak FC, ia akan memberi peluang kepada Cheetah untuk naik dalam pasaran, setaraf dengan jenama-jenama lain di pusat beli belah. Inilah peluang-peluang yang orang lain tidak nampak.
“Dari segi strategi perdagangan, kita sudah ada kedai sukan dan kita boleh jual sendiri Jersi Perak, t-shirt, polo pasukan ini di kedai-kedai sedia ada seperti di OneUtama dan Sunway Pyramid. Jadi semua ini akan membawa kepada keuntungan yan akan masuk ke Perak FC.
“Jadi kesimpulannya, banyak perniagaan sokongan yang dapat menampung operasi Perak FC ini. Kita sudah buat kira-kira, bukanlah ‘bodoh-bodoh’ buat keputusan, saya adalah ahli perniagaan, bukan senang-senang untuk ambil alih pasukan ini.
Bukan janji tapi pasti
Mengenai kedudukan kewangan pasukan, Abdul Aziz menegaskan beliau tidak mahu pihak di luar beranggapan Perak FC sebuah pasukan yang ‘mewah’ dan mempunya bajet yang lumayan seperti kelab-kelab besar.
Menurutnya pihak pengurusan telah menetapkan nilai bajet yang sederhana bagi membolehkan Ketua Jurulatih yang baharu, Lim Teong Kim untuk memilih pemain bagi musim 2023 akan datang.
Dari sudut pembayaran gaji, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelak dari berulang kerana ia melibatkan nama baik syarikat XOX sendiri.
“Kita tak kan ada apa-apa bantahan, kita ada bajetlah, kalau dia minta nak bawa [Cristiano] Ronaldo, tidak bolehlah, itu di luar bajet. Bajet kita bukan besar pun, semua ingat kita lebih lumayan dari JDT, sebenarnya bukan sehebat itu,” katanya lagi.
“Siasatan Bursa dah tentu jauh lebih dahsyat daripada siasatan MFL (Malaysian Football League), tak boleh buat main-main, dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) lagi.
‘RM1.6 Juta’ – Pengurusan Baharu Perak XOX Bhd Langsai Sebahagian Tunggakan Gaji
“Kalau ingin sebutkan saya jamin mampu bayar gaji, sudah tentu tidak boleh beri jaminan sepenuhnya, kerana lumrah dalam perniagaan apa-apa pun boleh terjadi. Tetapi insyaAllah kami mempunyai kekuatan sendiri tanpa perlu merujuk kepada kerajaan negeri untuk dapatkan dana.
“Tapi apa yang kami perlukan dari kerajaan negeri adalah sokongan. Contohnya jika kami hendak gunakan stadium, padang latihan dan sebagainya.”
Penutup
Kita perlu menerima hakikat bahawa realiti hari ini sukan bola sepak tidak boleh lagi dilihat sebagai ‘pusat kebajikan’ di mana wang yang dilaburkan untuk operasi sesebuah pasukan dihabiskan begitu sahaja terutamanya dalam membayar gaji pemain profesional yang begitu tinggi kadarnya.
Dari sebuah ‘sukan rakyat’, ia telah pun berevolusi menjadi sebuah perniagaan. Selain daripada apa yang disebutkan oleh Pengerusi Perak FC, terdapat banyak lagi kaedah untuk sesebuah kelab bola sepak menjana keuntungan.
Penajaan, jualan tiket, hak penyiaran, perpindahan pemain, wang kemenangan juga merupakan strategi untuk memastikan kelab mampu untuk menampung kos operasi pasukan dan tidak lagi bergantung kepada dana dari kerajaan.