“Teruja Ketika Dipilih Irfan Bakti” – Sulaiman Hussin Singkap Pengalaman Bersama Kuching City

Kuching City sah berjaya mengesahkan diri mereka ke saingan Liga Super pada musim hadapan secara merit setelah pasukan tersebut menamatkan cabaran Liga Premier 2022 di tangga ketiga.

Selain kejayaan tersebut, nama pasukan itu juga sekali lagi melonjak apabila penyerang import mereka iaitu Abu Kamara turut berjaya meletakkan diri selaku penjaring terbanyak musim ini dengan 11 gol dicetak beliau.

Menarik mengenai Kuching City apabila pasukan tersebut tidak dibarisi oleh ramai pemain ternama melainkan Joseph Kalang Tie sahaja.

Selebihnya, Irfan Bakti Abu Salim menggandingkan barisan pemain muda meningkat naik bersama tonggak senior berpengalaman, selain import berkualiti turut memperkuatkan pasukan tersebut.

Disebabkan adunan yang dicipta oleh Irfan Bakti, ia jelas menjadi satu subjek pembelajaran berguna buat pembantu jurulatih kelab tersebut iaitu Sulaiman Hussin.

Selaku salah seorang jurulatih muda meningkat naik, Sulaiman jelas mempelajari banyak perkara daripada Irfan Bakti mengenai hal kejurulatihan dan mengapa pengendali berpengalaman itu masih relevan sehingga kini.

Menurut Sulaiman, Irfan Bakti digambarkan sebagai seorang yang sangat tegas dan mempunyai banyak ilmu untuk dikongsikan bersama beliau sepanjang dua musim ini.

“Musim lalu ketika nama saya dipanggil oleh Irfan untuk bersama beliau dalam Kuching City, jelas ia merupakan suatu perkara paling teruja buat diri ini.

“Bergandingan bersama jurulatih berpengalaman tersebut, Irfan tidak hanya menganggap saya sebagai pembantu, malah peranan saya juga dianggap sangat besar oleh beliau untuk melatih para pemain.

“Beliau tidak lokek untuk berkongsi segala ilmu kejurulatihan buat diri ini dan ya, saya sendiri pun tidak pernah melepaskan peluang untuk ‘mencuri’ sendiri cara beliau melatih pemain,” jelas beliau kepada Semuanya Bola.

Sulaiman juga tidak putus untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas jurulatih Terengganu tersebut kerana berjaya merealisasikan impian pengurusan untuk membawa Kuching City meraih kecemerlangan musim ini.

Pada masa sama, ketika ditanya mengenai rahsia berjaya membangunkan bakat-bakat muda berkualiti, Sulaiman menjelaskan segalanya mengenai hubungan antara jurulatih dan pemain sendiri.

“Jika Irfan dikenali kerana ketegasan beliau, maka saya sebaliknya pula. Bersama pemain saya mengamalkan sikap terbuka dan tak ada sempadan.

“Mereka mudah dibentuk dan meningkat motivasi sekiranya dilayan dengan baik dan bercakap mengenai bakat muda, perhatian lebih perlu diberikan agar mereka ini tidak keciciran,” tambah Sulaiman.

Kami juga sempat bertanyakan soalan jika Sulaiman sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih mana-mana kelab sekiranya dilamar musim hadapan.

Menurut beliau, ketika ini dirinya sudah pun bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut sekiranya mana-mana kelab berminat.

Namun, Sulaiman juga menyatakan segala mengenai perancangan kelab dan visi mereka perlu diperhalusi sebelum beliau menandatangani kontrak bersama mana-mana pasukan.

Jika diberi mandat sebagai ketua jurulatih mana-mana kelab, bekas pengendali UKM FC itu sangat berminat untuk mendapatkan khidmat pemain Kedah Darul Aman (KDA), Akmal Zahir dan Asnan Ahmad

“Akmal dan Asnan boleh disifatkan sebagai pemain yang sangat bagus dan kedua pemain ini sentiasa tahu apa diinginkan saya dalam permainan.”

Untuk musim hadapan, harapan pengendali berbakat besar itu turut mengharapkan agar sokongan para penyokong dapat diberikan dengan lebih baik buat pasukan.

“Kita lihat bagaimana para penyokong Perak semalam berjaya memberi kesan buat para pemain untuk beraksi dengan lebih baik.

“Jadi saya harap penyokong Kuching City juga mampu memberikan perkara sama kerana mereka sangat penting untuk kami tampil lebih baik,” jelas Sulaiman pada kami.

Leave a Reply