“Tingkat Upaya Baca Pergerakan Lawan”- Ahmad Haziq Kini Jadi Aset Penting Melaka United

Saat prestasi Melaka United yang dilihat tidak konsisten menerusi keputusan kurang memberansangkan dalam saingan Liga Super 2022, masih ada sesuatu positif boleh dilihat mengenai skuad tersebut.

Melaka United pastinya kini sedang berpuas hati terutama sekali jurulatih mereka iaitu Asri Ninggal mengenai salah seorang pemain pasukan tersebut yang dilihat sangat konsisten dalam setiap perlawanan dihadapi.

Ahmad Haziq Puad jelas menjadi pemain paling menonjol ketika ini bersama Melaka United, selepas pertahanan tersebut ditandatangani oleh pasukan pada awal musim.

Haziq jelas ketika ini mengharapkan momentum Melaka United dapat terus meningkat menjelang baki saingan Liga Super ini yang sudah pun memasuki minggu-minggu akhir.

Menurut pertahanan kental tersebut, keputusan Melaka United untuk mengikat salah satu pasukan terkuat Liga Malaysia (Liga-M) baru-baru ini iaitu Kuala Lumpur City (KL City) tanpa jaringan, jelas memberi impak buat Haziq untuk terus mengekalkan prestasi terbaik.

Selepas dikecewakan menerusi tiga kekalahan berturut-turut dalam sebelum itu, Melaka United dilihat kembali bangkit untuk mengutip mata setelah mengikat KL City dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Haziq juga berkongsi mengenai pengalaman beliau pada aksi lalu apabila pemain tersebut menyifatkan aksi bertemu KL City jelas sukar berdasarkan kualiti serangan dimiliki mereka.

Tambahan, lawan juga berjaya membuktikan taring serangan mereka menerusi kemenangan dicatat ketika aksi Piala AFC lalu ketika KL City membenam cabaran ATK Mohun Bagan di gelanggang lawan.

Menerusi rekod statistik perlawanan juga menyaksikan KL City lebih dominan pada aksi tersebut menerusi beberapa siri percubaan dilepaskan untuk mendapatkan gol.

Namun kecemerlangan Haziq di benteng pertahanan bersama Norazlan Razali selaku penjaga gol utama, berjaya menghalang gawang mereka untuk dibolosi pelawat.

“Saya akan terus memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan selepas kerap diberi tanggungjawab membarisi empat pemain pertahanan utama pasukan.

“Malah saya akui kian serasi bersama Fadhli Shas selain turut diberi peranan bersama benteng kebal yang juga pemain import Filipina Justin Baas.

“Apapun saya sentiasa terus meningkatkan keupayaan dalam membaca pergerakan lawan kerana kami perlu berdepan penyerang terbaik Liga Malaysia,” katanya menerusi Arena Metro.

Pada masa sama, anak jati Kedah ini juga memasang tekad untuk terus membalas kepercayaan diberi oleh para penyokong menerusi aksinya pada perlawanan akan datang.

Haziq menyatakan segala pengalaman beliau sebelum itu yang pernah beraksi bersama beberapa buah pasukan Liga-M akan digunakan sepenuhnya kini bersama Melaka United.

Pemain berusia 29 tahun itu juga mengakui gembira beraksi bersama pasukannya kini yang rata-rata diwakili ramai pemain berpengalaman dan import berkualiti.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN