Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh menyokong penuh keputusan yang diambil badan penganjur liga bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) dalam menunda tarikh sepak mula kempen Liga Malaysia 2021.
Seperti yang diketahui, MFL telah mengumumkan tarikh baharu sepak mula Liga Malaysia 2021 dari 26 Februari ke 5 Mac susulan larangan mengadakan sebarang latihan buat masa ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari depan.
Sehubungan dengan itu, Dollah menyatakan keselamatan pemain dan pengawai menjadi faktor paling penting yang perlu ekoran lonjakan kes pandemik COVID-19 yang begitu tinggi.
Tambahnya, MFL perlu membuat keputusan sedemikian agar ada ruang untuk pasukan melakukan persiapan pra musim sambil optimis akan ada langkah susulan daripada badan pentadbir Liga Malaysia itu jika kebanyakan pasukan belum boleh berlatih selepas 4 Februari depan.
“Apa yang kita kena tengok sekarang adalah keselamatan semua, kita sudah tentu tidak mahu kalau liga berjalan juga, akan ada kes kluster membabitkan pemain dan pegawai, jadi memang wajar Liga Malaysia ditangguh.”
“Saya juga tiada masalah menerima hakikat tiada pertandingan Piala FA pada musim ini kerana sememangnya itu yang terbaik kepada semua pihak kerana penangguhan sepak mula Liga Malaysia, masa pasti suntuk untuk harungi semua perlawanan.”
“Mengenai persiapan, Sri Pahang sememangnya telah bermula tempoh hari sebelum PKP dilaksanakan dan kita harap semua pasukan berpeluang dapat jalani latihan sebaik tiada lagi PKP mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP),” tambah Dollah Salleh lagi.
Sementara itu dalam perkembangan lain, MFL telah bersedia untuk menyediakan beberapa mekanisme seperti SOP latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik COVID-19.
Kredit featured image: Facebook Sri Pahang FC
Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan terkini bola sepak dunia:
SU Agung KLFA: Kontrak Simon Elissetche Dengan KLFA Bukan KL United