Menurut Liverpool Echo, pertahanan Brighton, Ben White sudah lama berada dalam pemantauan rapi The Reds dan mungkin akan ditawarkan untuk bersama mereka.
Dengan perpindahan Dejan Lovren ke Zenit St Petersburg, pengendali, Jurgen Klopp dikhabarkan sedang mencari pengganti yang sesuai untuk mengukuhkan benteng disamping prospek bergandingan bersama Virgil van Djik di masa depan.
‘Kami akan tambah’
Ben White dipinjamkan ke Leeds United musim lalu dan telah membantu kelab di Championship itu meraih promosi ke Premier League musim hadapan.
Brighton terselamat daripada tersingkir apabila menamatkan musim ini di kedudukan ke-15 Premier League, tujuh mata di depan kelab yang jatuh ke Championship. Dengan Leeds sudah meraih promosi, Ben White tidak akan dipinjamkan lagi.
Namun, Leeds menunjukkan minat untuk mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu selepas seorang penyokong Leeds berusia lima tahun mengutus surat kepada CEO Brighton menawarkan duit tabungannya berjumlah £15.07 untuk khidmat Ben White.
Pengerusi Leeds, Andrea Radrizzani menunjukkan penghargaan kepada semangat penyokong muda tersebut dengan kenyataan, “Kami akan tambah tawaran anda untuk Ben [White] tersebut dan anda boleh jumpa semula Encik Barber [CEO Brighton].”
Brighton tidak akan jual
Menurut pengendali, Graham Potter, mereka tidak akan menjual pemain muda itu. Beliau ada potensi untuk menjadi pemain yang bagus. “Dia adalah pemain yang bagus dan kami bersyukur dia adalah pemain kami,” ujarnya mengenai Ben White.
“Beliau mendapat pengalaman yang bagus musim ini bersama Leeds. Kedua-dua pihak mendapat hasilnya. Ben meraih pengalaman yang berharga sementara Leeds pula meraih promosi. Kami menilainya dengan nilai yang tinggi,” tegas Potter.
Begitupun, menurut laporan The Telegraph, Brighton sudah meneruskan perbincangan bersama Leeds untuk perpindahan Ben White. Walaupun tiada tawaran kontrak lagi mengenainya, ia dikhabarkan masih diteruskan oleh kedua-dua pihak.
Menurut laporan itu lagi, Seagulls meletakkan tanda harga £30 juta untuk Ben White dan menarik untuk dilihat samaada The Whites akan memenuhi permintaan mereka. Untuk Liverpool, mungkin nilai tersebut tiada masalah untuk dipenuhi.
Tambahan bakat British
Liverpool mahu menambah bakat tempatan di dalam senarai pemain mereka dan dengan penghijrahan Dejan Lovren, pengganti sangat diperlukan mereka ketika ini. Mereka sudah memiliki van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip untuk posisi itu.
Selain itu, pemain kelahiran Poole, England itu juga mampu beraksi di posisi bek kanan dan pemain tengah bertahan. Beliau mampu menjadi pilihan kedua kepada Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson. Ini akan sangat membantu Liverpool.
Namun, masih belum ada tawaran ataupun perbincangan rasmi antara Liverpool dan Brighton untuk pemain yang telah tampil 49 kali secara keseluruhan bersama Leeds musim ini. Dua kelab Manchester juga turut dikhabarkan berminat dengannya.
Mungkin The Reds akan terus memantaunya untuk musim hadapan sekiranya beliau tidak berhijrah ke mana-mana. Brighton merancang untuk menggunakannya sebagai antara pemain utama pada saingan Premier League musim 2020/21.
Penutup
Graham Potter pernah berkata yang, “Kemampuannya akan sangat-sangat membantu [pasukan] dan dia akan menjadi pemain ternama [satu masa nanti]. “
CEO Brighton, Paul Barber pula melabel Ben White sebagai sangat penting untuk masa depan kelab dan menekankan yang beliau tidak akan dijual. Adakah Liverpool akan meneruskan pemantauan ke atas pemain ini atau akan masuk bersaing?
KREDIT FEATURED IMAGE: SKYSPORTS