Dejan Lovren Sah Tinggalkan Liverpool Untuk Ke Zenit St Petersburg

Dejan Lovren

Perkembangan terbaharu mengenai pertahanan Liverpool, Dejan Lovren mungkin menggembirakan para penyokong The Reds apabila beliau sah akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 itu untuk menyertai kelab Rusia, Zenit St Petersburg.

Menurut sumber Goal, pemain berusia 31 tahun itu telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan nilai perpindahan berjumlah €12  juta bagi membawanya ke Gazprom Stadium.

Termeterainya perjanjian itu menyaksikan perjalanan karier Lovren bersama Liverpool selama enam musim berakhir selepas beliau dibawa masuk oleh pengendali terdahulu, Brendan Rodgers pada musim 2014/15.

Ketika berada di bawah kendalian Rodgers dan dua musim setengah bersama Jurgen Klopp, Lovren merupakan nadi utama buat jentera pertahanan Liverpool.

Namun, bermula musim lalu, Klopp dilihat lebih gemar menggunakan khidmat Joe Gomez dan Joel Matip untuk digandingkan bersama Virgil van Dijk.

Keadaan tersebut membuatkan Lovren semakin kurang menikmati minit perlawanan apabila hanya beraksi dalam 23 perlawanan bagi dua musim. Aksi yang ditampilkan Lovren juga kadangkala mendapat kritikan daripada para penyokong Liverpool.

Tandukan ’emas’ yang dilakukannya pada masa kecederaan aksi suku akhir kedua bertemu Borussia Dortmund bagaimanapun menjadi antara detik manis buat Lovren dalam membantu Liverpool mara dengan lebih jauh dalam saingan Liga Europa 2015/16.

Enam musim menabur bakti buat The Reds, Lovren telah mengecap nikmat selaku juara Liga Perdana Inggeris musim ini dan Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 serta membuat 185 penampilan secara keseluruhanya.

Kredit featured image: Chris Brunskill Ltd/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Lovren:

Leave a Reply