Dean Henderson yang baharu sahaja melanjutkan kontrak selama enam tahun bersama Manchester United melaungkan amaran bahawa beliau akan memberikan tekanan buat penjaga gol utama, David de Gea.
Dua musim dipinjamkan ke Sheffield United, Henderson telah mempamerkan kualiti yang dimilikinya apabila menjadi antara sandaran utama kelab tersebut berjaya kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris 2019/20.
Kecemerlangan tersebut diteruskan apabila Henderson telah mencatatkan 13 ‘clean sheets’ pada 36 penampilannya dalam kancah liga paling popular itu.
Beliau hanya kekurangan tiga ‘clean sheets’ sahaja lagi untuk menyamai pencapaian pemenang anugerah ‘Sarung Tangan Emas’ EPL musim lalu, Ederson Moraes dari Manchester City manakala Nick Pope di tempat kedua dengan 15.
Jumlah yang dicatatkan Henderson itu juga turut dikongsikan bersama beberapa penjaga gol ternama lain seperti bakal pesaingnya di United, David De Gea, Alisson Becker, Rui Patricio dan Kasper Schmeichel.
Yakin dengan kredibiliti dan kemampuannya sendiri, Henderson melihat beliau mampu untuk memberikan tekanan buat De Gea dalam merebut posisi penjaga gol skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu.
”Sasaran saya adalah untuk bermain pada musim hadapan [2020/21] dan saya enggan terlepas aksi selepas beraksi pada musim lalu.”
”Bermula musim yang baik dengan momentum, tidak cerdik bagi saya untuk sekadar duduk [di bangku simpanan] dan tidak bermain bola sepak. Saya tidak merasakan ia akan membantu mana-mana pihak.”
”David de Gea jelas merupakan penjaga gol utama yang hebat sejak bertahun-tahun dan dia sememangnya luar biasa,” ujar Henderson menurut laporan Goal.
”Itulah perkara yang menjadi cita-cita saya, untuk menikmati karier sepertinya di kelab ini, jadi saya akan kembali pada hari pertama pra-musim dengan bekerja keras untuk mendapatkan tempat di kesebelasan utama.”
Kredit featured image: John Peters/Manchester United via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Henderson: