Dean Henderson Jadi Pilihan Utama Musim Depan Berbanding David de Gea?

Dean Henderson David de Gea Man United 2020

Terdapat perkhabaran Manchester United mahu membawa pulang Dean Henderson untuk mengambil alih peranan David de Gea di gawang pada musim hadapan.

Aksi cemerlang Henderson bersama Sheffield United untuk dua musim dan penurunan prestasi De Gea seakan-akan memberi petanda yang penjaga gol muda itu tidak lagi akan dipinjamkan ke The Blades, malah akan menjadi pemain nombor 1 Man United.

Bawa pulang Dean Henderson?

Sejak Cristiano Ronaldo meledak hatrik melepasinya pada saingan Piala Dunia 2018, penjaga gol asal Sepanyol itu dilihat bukan lagi dirinya dan kian menurun prestasinya. Malah, pada saat ini, beliau kerap membuat kesilapan yang tidak sepatutnya.

Penulis sukan, Duncan Castles membuat ciapan di Twitternya mengenai isu ini yang berbunyi, “Manchester United mahu Dean Henderson kembali ke Old Trafford dan bersedia memilih penjaga gol skuad England B-21 berbanding David de Gea.”

Walaupun belum ada kenyataan rasmi berhubung isu ini, perdebatan hangat di kalangan penyokong mengenai keberkesanan De Gea di gawang sudah berlangsung agak lama dan mungkin pengendali pasukan, Ole Gunnar Solskjaer ada jawapannya.

Dan pengendali berusia 47 tahun itu berkata yang beliau masih menganggap De Gea sebagai penjaga gol terbaik di dunia dan tidak pernah terfikir untuk menyisihkannya. “Dia memiliki mental yang kuat [untuk menjadi penjaga gol Man United],” ujarnya.

Peter Schmeichel pilih De Gea

Lagenda penjaga gol Man United, Peter Schmeichel turut senada bersama Solskjaer apabila mengatakan yang tekanan yang dilalui oleh kedua-duanya tidak sama dan tidak boleh dibuat perbandingan serta meminta perdebatan tersebut dihentikan segera.

Schmeichel menegaskan yang De Gea masih penjaga gol nombor satu The Red Devils dan tiada apa yang perlu diperdebatkan lagi oleh semua. Menurutnya, “Dia [De Gea] masih muda dan masih boleh bermain 10 tahun lagi. Jadi, mari kita menyokongnya.”

“Apa yang mampu saya katakan adalah pengganti De Gea mestilah seseorang yang memiliki pengalaman yang sangat luas,” tegasnya lagi dalam rancangan MUTV’s Group Chat sambil berkata Dean Henderson masih jauh perjalanan untuk menjadi nombor 1.

“Untuk menyingkirkan De Gea, dia [Henderson] masih memerlukan lebih banyak aksi dalam kesebelasan utama pasukan,” jelasnya dan turut berkata yang sudah beberapa kali perkara sebegini terjadi dengan pemain-pemain muda gagal mencapai potensi.

Statistik Henderson lebih baik

Berbeza nada dengan Solskjaer dan Schmeichel, bekas kapten Man United, Roy Keane pernah menempelak beberapa pemain termasuk De Gea ketika mengulas perlawanan yang menyaksikan Man United terikat 1-1 menentang Tottenham tempohari.

“Saya sudah meluat dengan penjaga gol ini [David De Gea]. Beliau penjaga gol yang dianggap hebat. Sudah lama saya lihat benda ini berlaku,” tegas Keane.

Jika melihatkan statistik yang dikeluarkan oleh ESPN, Dean Henderson nyata dalam kelas tersendiri menewaskan penjaga gol nombor 1 Man United itu. Semua fakta yang diberikan, menyaksikan De Gea kecundang kepada penjaga gol berusia 23 tahun itu.

Merujuk kepada Whoscored pula, anda akan melihat Henderson berada di kedudukan ke-9, setara dengan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker. De Gea pula? Beliau berada di kedudukan ke-24, bersama-sama Kepa Arrizabalaga dan Jordan Pickford.

Penutup

Adakah wajar Dean Henderson juga diberikan peluang sebagaimana yang dilalui oleh pemain muda, Mason Greenwood? Peluang diberikan dan pemain tersebut menampilkan sentuhan memberangsangkan bersama pemain-pemain senior yang lain.

Mungkin De Gea memerlukan pesaing sebaik Henderson di Old Trafford bagi memangkin prestasinya semula? Siapa tahu? Bagaimana pendapat anda pula?

KREDIT FEATURED IMAGE: REUTERS

Baca lagi artikel mengenai Dean Henderson dan David de Gea:

Leave a Reply