‘Bukan Sekadar Bola Sepak’ – Pemain KL City Kenny Pallraj Juga Pelajar & Penternak Berjaya

Kenny Pallraj Kandang

Pemain tengah Kuala Lumpur City, Kenny Pallraj mungkin hanya dikenali sebagai pemain bola sepak profesional. Tetapi ramai penyokong skuad ibu kota itu tidak tahu bahawa anak kelahiran Buntong itu sebenarnya bukan sahaja serba boleh di atas padang.

Ketika pasukannya kehilangan beberapa pemain pertahanan tengah seperti Irfan Zakaria dan Nik Shahrul Azim akibat kecederaan, Bojan Hodak telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengisi kekosongan di posisi tersebut.

Percaturan itu ternyata berbaloi selepas gandingannya bersama Giancarlo Gallifuico berjaya membantu KL City mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini selepas kali terakhir melakukannya adalah pada 32 tahun lalu.

Piala Malaysia: Penantian 32 Tahun Berakhir, KL City Ke Final Selepas Penentuan Sepakan Penalti

Namun versatiliti pemain berusia 28 tahun itu bukan sahaja terhad di atas padang. Ketika beraksi untuk Perak sebelum ini, beliau pernah melakukan tiga perkara atau pekerjaan berbeza pada satu masa.

Selain gigih dan bijak membaca permainan, Kenny juga sebenarnya turut komited dalam menjalankan perniagaan ternakan di kampungnya di Ipoh dan turut menyambung pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Selangor (UNISEL).

Ketika aksi Liga Malaysia (Liga-M) tertangguh pada tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kenny bersyukur kerana mempunyai masa yang lebih banyak untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan dan pengajiannya.

 

Dalam perkongsiannya bersama The Star pada tahun lalu, bekas pemain Harimau Muda itu menceritakan bagaimana beliau menguruskan masanya sepanajang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri, sekiranya mempunyai masa lapang, saya perlu lakukan sesuatu yang bermanfaat. Dengan bermain bola sepak [profesional], saya dapat memulakan perniagaan pertanian dan juga menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” ujarnya.

“Ada sahaja peluang, saya akan laburkan pada sesuatu. Saya sukakan bidang penternakan, jadi sekarang saya sudah ada ladang sendiri di kampung saya di mana saya juga menternak biri-biri, kambing, ayam belanda dan ayam kampung. Perniagaan pun boleh tahan bagus.”

Waktu pagi beliau menguruskan ternakan, tengah hari menghadiri kelas secara dalam talian dan pada waktu petang pula  adalah masa untuk membuat senaman bagi mengekalkan tahap kecergasannya.

Kenny Pallraj’s farm in Buntong.
Photo Credit: The Star

“Saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuteraan sivil kerana saya memang belajar bidang sains semasa di sekolah dahulu. Saya sukakan subjek Fizik dan juga membuat reka bantuk dan lukisan pelan rumah,” katanya lagi.

Kenny yang bermain untuk pasukan negeri kelahirannya sejak 2016 akhirnya terpaksa mengambil keputusan sukar untuk berhijrah ke Kuala Lumpur bagi meneruskan kariernya selepas Perak bergelut dengan pelbagai isu terutamanya masalah pembayaran gaji.

Apa yang pasti keputusan tersebut dibuat demi kelangsungan kariernya yang mempunyai komitmen serta tanggungjawab untuk menyara keluarga setelah bekas majikannya itu dilaporkan tidak membayar gaji selama tiga bulan.

“Sebenarnya kita di Perak ni, bukan sekadar rakan sepasukan tapi dah macam satu keluarga,” ujar Kenny ketika ditemubual dalam rancangan Bola Mamak di Astro Arena.

‘Bukan Mudah, Kami Dah Macam Keluarga’ – Kenny Pallraj Sebak Tinggalkan Perak

“Badak [Shahrul Saad], [Amirul] Azhan, Nazirul Naim, Hafizul Hakim, mereka ini saya bukan baru kenal 5, 6 tahun, dari umur 10 tahun saya dah kenal mereka semua.

“Jadi hubungan kami antara pemain dan juga keluarga memang erat. Bila ada yang dah berpecah, keluar, memang rasa sedih sangat.”

“Saya mula main bola dengan pasukan Piala Presiden, kemudian saya keluar untuk bersama Harimau Muda selama tiga tahun, saya balik ke Perak saya tak keluar ke mana-mana hingga sekarang. Sampai sekarang saya tak percaya yang saya dah buat keputusan ini.”

Bagaimanapun, dalam perkongsian terbaharunya di Twitter, Kenny mengakui bahawa penghijrahannya ke KL City adalah keputusan terbaik dalam kariernya.

“Apabila saya buat keputusan untuk meninggalkan negeri tercinta Perak, ada beberapa pasukan telah memberikan tawaran. Tetapi naluri saya kuat mengatakan KL City adalah pasukan di mana saya dan Partiban perlu pergi,” ujar Kenny dalam ciapannya.

“Stanley Bernard mempunyai pelan realisitk untuk masa depan pasukan ini yang mana saya percaya boleh memainkan peranan penting di dalamnya, dan hari ini lihatlah di mana kami.

“Bola Sepak Kena Orang Bola Sepak” – Merungkai Kejayaan KL City Yang Diterajui Stanley Bernard

“Semua ini bukan kerana seorang individu, tetapi ia adalah hasil kerja berpasukan yang luar biasa. Dari pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain sehinggalah semua yang berperanan di belakang tabir.

“Ramai yang mempersoalkan keputusan saya dan Partiban, kenapa pilih KL? Katanya mereka tak bagus, pasukan kecil dan lemah!

“Tetapi pencapaian hari ini telah memperlihatkan apa sebenarnya KL, jangan perkecilkan mana-mana pasukan. Kami mungkin kecil, tetapi kami cukup besar sebagai keluarga.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Kuala Lumpur City:

“Bola Sepak Kena Orang Bola Sepak” – Merungkai Kejayaan KL City Yang Diterajui Stanley Bernard

‘Bukan Biasa-Biasa’ – Pertahanan KL City Giancarlo Gallifuoco Pernah Beraksi Di Samping Harry Kane, Luka Modric

Biarlah Ini Kali Terakhir Panggil De Paula, Nantikan Kemunculan Romel ‘The Assassin’ Morales

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN