Piala Malaysia: Penantian 32 Tahun Berakhir, KL City Ke Final Selepas Penentuan Sepakan Penalti

KL City Melaka United Piala Malaysia 2021 ke final

KL City FC mara ke final Piala Malaysia 2021, menamatkan penantian 32 tahun apabila menundukkan Melaka United 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2.

Kegagalan Giovane Gomis untuk menyudahkan penalti yang diambilnya telah menyaksikan Melaka United tidak berjaya mencipta sejarah untuk mara ke final buat kali pertama dalam sejarah selepas 100 edisi Piala Malaysia.

Tertunda hampir sejam apabila dua kali bekalan elektrik terputus, aksi Melaka United menentang KL City tetap berlangsung rancak di Stadium Hang Jebat. Pertembungan rancak di Stadium KLFA diteruskan oleh kedua-dua pasukan dengan Melaka United dilihat sedikit bermasalah untuk menyudahkan beberapa peluang yang dimiliki.

Antara percubaan terbaik yang dimiliki tuan rumah adalah pada minit ke-7, namun penjaga gol KL City, Kevin Mendoza berjaya menafikan percubaan penyerang, Sony Norde sebelum sepakan percumanya di minit ke-11 sedikit tersasar dari palang gawang gol The City Boys. Itu adalah dua percubaan terbaik Melaka United.

Dua minit selepas percubaan pertama Sony Norde, di minit ke-9, J. Partiban berjaya memberikan pelawat jaringan pendahuluan selepas menyambung percubaan dari luar kotak penalti untuk menewaskan Khairul Fahmi, yang mungkin tidak menyangka Partiban yang berada di depannya akan membuat sentuhan mudah.

Selepas gol pembukaan tersebut, perlawanan dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan dilihat cuba mencatur asakan ke kubu lawan. Begitupun, benteng pertahanan kedua-dua pasukan tampak ampuh.

Dibolosi satu gol di babak pertama, skuad Hang Tuah cuba menekan awal pasukan pelawat menerusi Sony Norde – yang merupakan fokal serangan buat tuan rumah apabila setiap asakan akan dimulakan oleh beliau. Kelincahannya mahu digunakan sepenuhnya oleh Zainal Abidin Hassan bagi mengucar-kacirkan pelawat.

The City Boys hampir meledak gol kedua menerusi tandukkan kapten, Paulo Josue di depan gawang yang dikawal Khairul Fahmi, namun tandukannya itu langsung tidak menggugat penjaga gol berpengalaman itu di minit ke-51 sebelum bek sayap Melaka United, Khairul Anwar membuat percubaan liar dua minit kemudian.

Sedikit terleka, pelawat akhirnya dihukum apabila pemain yang sensasi dengan insiden ‘samseng’ ketika berdepan Sabah FC, Syamim Yahya berjaya meledak jaringan penyamaan di minit ke-65. Ia melonjak sorakan gemurah ribuan penyokong tuan rumah yang menanti terlalu lama untuk mereka mencipta jaringan pertama.

Menuju 10 minit terakhir dan keputusan terikat 1-1, perlawanan kian rancak. Tentunya kedua-dua pasukan tidak mahu perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan apabila aksi pertama juga berkesudahan dengan kedudukan yang sama sebelum ini. Melaka United yang dilihat lebih berbahaya berbanding KL City pada ketika ini.

Dua kali Sony Norde hadir ke kubu lawan membuat percubaan iaitu di minit ke-80 dan ke-82, namun kedua-dua rembatannya gagal menewaskan Kevin Mendoza di gawang untuk memberikan Melaka United kelebihan.

Untuk KL City, mereka dilihat tidak mampu untuk membuat percubaan berbahaya ke pintu gawang tuan rumah. Jentera serangan yang diketuai Romel Morales yang cemerlang sebelum ini tampak ‘kaku’ dan kekeringan idea.

Bojan Hodak dilihat mempertaruhkan pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin untuk aksi di masa tambahan. Pengalaman dan kesegarannya mahu ditagih oleh pengendali itu untuk memburu jaringan kemenangan ketika rentak perlawanan kian perlahan akibat pemain daripada kedua-dua pasukan sudah mula dimamah keletihan.

Namun, Melaka United meneruskan penguasaan dari segi percubaan ke gawang lawan. Mereka telah datang menerusi Sony Norde, Adriano dan Manuel Ott. Ketumpulan percubaan skuad Hang Tuah menyebabkan tiada gol terhasil. Sorakan padu penyokong telah memberikan tenaga tambahan buat mereka memburu jaringan.

Tiada gol tambahan tercipta menyaksikan perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti apabila secara agregat, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2. Kesemua pengambil sepakan penalti KL City berjaya menyempurnakan sepakan mereka untuk The CIty Boys menang 5-3 dan mara ke final Piala Malaysia.

Leave a Reply