Buat Penyokong Yang Ke SNBJ, Jangan Lupa Patuhi SOP!

final Piala Malaysia 2021

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengingatkan penyokong-penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam esok agar lebih bertanggungjawab dalam mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aksi final Piala Malaysia 2021.

Pihak polis akan meningkatkan kawalan di dalam dan luar stadium bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin serta mengikut SOP yang telah ditetapkan di mana seramai 1497 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan semasa perlawanan tersebut.

Apa yang menjadi keutamaan pihak polis adalah untuk mengelakkan sebarang kekecohan berlaku sepanjang perlawanan berlangsung memandangkan ini adalah perlawanan final pertama yang berlangsung dengan SOP yang ketat dalam situasi pandemik COVID-19.

“Untuk makluman semua, pihak polis telah menetapkan beberapa kumpulan dan antaranya adalah kumpulan tangkapan sekiranya ada penonton yang melakukan perkara di luar batasan, bertindak ganas atau mencetuskan sebarang provokasi di dalam stadium.”

“Jadi, kumpulan ini akan duduk bersama penonton di dalam stadium untuk memantau dan jangan ingat polis tiada dengan anda sebab mereka akan sentiasa memerhatikan gerak geri dan tingkah laku penonton sepanjang perlawanan.”

“Pihak polis tidak akan tengok final, mereka hanya akan perhatikan penonton sahaja dan semua penyokong dinasihatkan berhati-hati untuk mematuhi segala peraturan bagi menjaga kelancaran perlawanan pada malam esok”, jelas Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Dato’ Hj Jaafar dalam sesi Sidang Media dan Taklimat Keselamatan PDRM, hari ini.

Antara SOP lain yang perlu dipatuhi adalah membabitkan penonton yang lengkap dua dos vaksin sahaja manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium.

Selain itu, perkara yang turut dititikberatkan adalah kelancaran lalu lintas pada hari perlawanan di mana penyokong dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam seperti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) ke stadium kerana parkir yang agak terhad.

Pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar Bukit Jalil di mana tindakan saman dan tunda akan diambil sekiranya ada kenderaan yang menghalang lalulintas.

Apa yang penting adalah penonton yang hadir dinasihatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka selain mengharapkan agar tiada sebarang provokasi dilakukan penonton yang boleh mencetuskan kekecohan sewaktu atau selepas perlawanan berlangsung.

Sumber:

Leave a Reply