“Bola Sepak Kena Orang Bola Sepak” – Merungkai Kejayaan KL City Yang Diterajui Stanley Bernard

Bojan Hodak Stanley Bernard Kuala Lumpur City

Kejayaan Kuala Lumpur City melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia pastinya menjadi detik manis buat penyokong skuad ibu kota. Ia menamatkan penantian panjang selama 32 tahun selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1989.

Dalam bola sepak, kejayaan tidak datang bergolek. Setiap daripadanya adalah hasil dari kerja keras dan perancangan yang tersusun untuk membentuk skuad yang mampu memberikan saingan dan seterusnya menjulang kejuaraan yang diimpikan.

Pemilihan tepat

Berbanding pasukan-pasukan Liga Malaysia yang lain, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di KL City diisi oleh Stanley Bernard Stephen Samuel, seorang bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili Kuala Lumpur semasa karier profesionalnya.

Meskipun di awal pelantikannya itu ada beberapa pihak yang meragui kemampuannya kerana dianggap sebagai kurang berpengalaman dalam menguruskan sebuah pasukan, namun Stanley mendiamkan pengkritiknya dengan satu demi satu pencapaian yang diraih oleh skuad ibu kota tersebut.

Selaku pendatang baharu Liga Super, tiada siapa yang menjangkakan KL City mampu menamatkan saingan di tangga keenam. Malah sepanjang musim ini, mereka berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dalam semua pertandingan.

Pemikiran tajam ‘orang bola sepak’

Sebaik sahaja tamat perlawanan di Stadium Hang Jebat, hos rancangan Bola Sentral, Hanif Miswan bersama bekas pemain Selangor, Nazzab Hidzan membincangkan kedudukan Stanley Bernard selaku individu yang bertanggungjawab membentuk kejayaan KL City pada musim ini.

“Bola sepak kena [letakkan] orang bola sepaklah. Itu yang saya fikir kenapa saya setuju dengan Bojan Hodak, kerana orang ini memahami apa kehendak [pasukan], terutamanya jurulatih,” ujar Nazzab.

“Mungkin perbincangan yang baik dilakukan dan nampak bagaimana mantapnya Kuala Lumpur apabila Stanley berada di situ dan dia membantu dari segenap perkara, mencari pemain, dana dan sebagainya.

“Saya nampak peningkatan yang baik, tiada siapa menyangka KL mampu pergi sejauh ini. Walaupun mereka tidak ada penyerang tulen, tetapi masih lagi mampu melayakkan diri ke pentas final.

“Jadi saya rasa kredit untuk [pengurusan] Kuala Lumpur, 32 tahun ini tempoh yang amat lama, tetapi mereka berjaya mencuri tumpuan dalam kempen Piala Malaysia pada kali ini.”

Pencapaian kelab ibu kota itu merupakan satu isyarat jelas bahawa bola sepak perlu diuruskan oleh mereka yang benar-benar menjiwai, mahir serta faham tentang selok belok dan sepak terajang dalam dunia bola sepak.

Komunikasi jelas

Antara langkah drastik yang diambil Stanley sebaik sahaja diberi tanggungjawab menerajui pasukan adalah ‘membatalkan’ pelantikan Jurulatih dari Chile, Simon Elissetche, kemudian beliau bertindak membawa masuk Bojan Hodak iaitu individu yang cukup berpengalaman dalam pentas bola sepak Malaysia.

Jurulatih dari Croatia itu pernah membimbing Kelantan semasa era kegemilangan pasukan dari pantai timur itu dan kemudiannya mengemudi Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat awal revolusinya untuk menjadi pasukan gergasi seperti yang kita dapat lihat pada hari ini.

Dengan rekodnya yang baik, pada 2017 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melantiknya selaku ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara selama tiga tahun sebelum beliau berkelana ke Indonesia untuk melatih PSM Makassar.

Jangan kita lupa, di Liga Malaysia, kerap kali kita mendengar cerita tentang ketua jurulatih yang tidak mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan pemain mana yang akan direkrut kerana terdapat campur tangan secara langsung oleh pihak pengurusan.

Tetapi di KL City berlakunya komunikasi di antara Bojan dan Stanley dalam membincangkan segenap perkara, terutamanya mengenai pemilihan pemain dan barisan kejurulatihan yang ingin dibawa masuk ke dalam pasukan.

Lihat sahaja barisan pemain yang dimiliki mereka musim ini. Gandingan pemain muda dan berpengalaman serta pemain import yang berkualiti telah membantuk keserasian yang cukup baik untuk menghasilkan permainan bola sepak yang menarik.

Penutup

Ini merupakan model terbaik bagaimana kelab bola sepak diuruskan oleh ‘orang bola sepak’. Mereka mempunyai sasaran yang jelas kerana pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan mempunyai misi dan visi yang selari.

Di tahun 2021 dan bola sepak Malaysia sudah pun menuju ke arah penswastaan penuh, tidak sepatutnya pasukan bola sepak terus ‘dicengkam’ oleh orang politik, korporat mahupun sesiapa sahaja yang kononnya ‘berjiwa bola sepak’ yang akhirnya sekadar menjadi tikus membaiki labu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN